SHAH ALAM: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick hari ini melakukan lawatan kerja ke Glide Technology Sdn. Bhd. di Bukit Jelutong, sambil menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian syarikat itu dalam industri perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Dalam lawatan tersebut, beliau menegaskan sesi sebegini merupakan inisiatif KUSKOP bagi mendekati syarikat Bumiputera berdaya saing yang telah membuktikan kemampuan di pasaran domestik dan antarabangsa.
Glide Technology, katanya, antara syarikat yang menunjukkan prestasi membanggakan apabila memperoleh pengiktirafan empat bintang di bawah SME Competitiveness Rating for Enhancement (SCORE) oleh SME Corporation Malaysia. Ia juga diletakkan dalam kelompok PMKS berpotensi tinggi untuk menembusi pasaran global.
Ewon berkata, KUSKOP komited melaksanakan strategi bagi memperkasa usahawan Bumiputera seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), yang menyasarkan sumbangan perusahaan Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 15 peratus menjelang 2035. Usaha itu turut selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 yang menumpukan penskalaan PMKS bagi memperkukuh peranan dalam pembangunan sosioekonomi negara.
Beliau turut memberi tumpuan terhadap Program Pembangunan Vendor (PPV) yang menjadi platform utama meningkatkan daya saing, inovasi dan keupayaan syarikat Bumiputera. Setakat ini, KUSKOP menjalin kerjasama dengan 38 syarikat Anchor bagi menyediakan latihan, bimbingan teknikal, penyelidikan dan pengkomersialan kepada vendor melalui program seperti Geran Inovasi dan Pengkomersialan Vendor (GIPV) serta Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan Vendor (PPKV).
Glide Technology merupakan salah satu syarikat penerima manfaat di bawah PPKV pada Disember 2024. Geran berkenaan digunakan untuk memperoleh peralatan pengujian berteknologi tinggi, Model ADTR-2K Plus Automatic Dielectric Constant Tan Delta and Resistivity Test Set, serta Automatic 2 Side Labeling Machine bagi menyokong pengeluaran produk petroleum dan pelincir syarikat.
Ewon turut merasmikan makmal baharu syarikat yang dilengkapi kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Beliau berharap fasiliti tersebut akan memperkukuhkan keupayaan syarikat dalam memenuhi permintaan sektor tenaga negara dan serantau.
Dalam ucapannya, beliau juga melancarkan produk MPOB-GLIDE Palm Oil-Based Insulating Oil, minyak penebat berasaskan 100 peratus minyak sawit pertama dihasilkan syarikat Bumiputera menerusi kerjasama strategik dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Beliau menyifatkan usaha itu sebagai contoh inovasi yang wajar diperluas.
Ewon menyatakan keyakinan bahawa Glide Technology mampu terus berkembang dalam ekosistem keusahawanan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Beliau turut menyuarakan harapan agar syarikat itu satu hari nanti disenaraikan di Bursa Malaysia.
Mengakhiri lawatan, beliau mengucapkan tahniah atas kejayaan syarikat dan menegaskan komitmen KUSKOP untuk terus bekerjasama dengan industri, agensi dan vendor dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Madani dan melahirkan bangsa usahawan yang mampan.