30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

EKSKLUSIF BERSAMA KONG SOON CHOI-KETUA WIRAMUDA STAR SABAH/TIMBALAN KETUA PEMUDA GRS

Kong Soon Choi-Ketua Wiramuda Star dan Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

KONG Soon Choi seorang pemimpin muda berusia 40 tahun berasal dari Daerah Keningau namun telah menetap di Daerah Ranau sejak 18 tahun lalu. Beliau mendirikan rumah tangga dengan isterinya berbangsa Dusun yang berasal dari Daerah Ranau dan dikurniakan dengan lima orang cahaya mata.

Menceburi bidang politik sejak berusia seawal 20-an, Kong atau biasa dipanggil Achoi merupakan antara pemimpin yang membarisi kepimpinan Ahli Majlis Tertinggi Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR) dan kini memegang jawatan selaku Ketua Exco Wiramuda Star Sabah.

Salain itu, beliau turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerlukan beliau menggalas tugas lebih besar lagi bagi membantu jentera Kerajaan Negeri Sabah untuk merealisasikan visi dan misi ‘Sabah Maju Jaya’ (SMJ) dibawah kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Hj. Noor selaku Ketua Menteri Sabah. Selain bidang politik, Kong juga merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya dimana beliau kini memiliki sebuah pasaraya dan hotel terkemuka di Pekan Ranau.

Pada 04 September 2022 lepas, wakil Borneo Daily Bulletin (BDB) berpeluang berjumpa dengan personaliti ini dalam satu ‘Sembang Petang’ disalah sebuah café di Pekan Ranau untuk mendapatkan pandangan beliau dari perspektif pemimpin muda mengenai senario politik semasa menjelang Pilihanraya Umum Ke-15. Dari raut wajahnya, ternyata Kong merupakan seorang yang begitu mesra dan sentiasa merendah diri untuk berkongsi pendapat.

KONG…berkongsi aspirasi

Berikut merupakan antara coretan pandangan yang dilontarkan oleh Kong Soon Choi bersama Krew Borneo Daily Bulletin (BDB):-

BDB : Apa pandangan anda selaku pemimpin muda dalam senario politik masa kini?

Kong Soon Choi

“Senario politik masa kini dilihat begitu mencabar dan telah berubah rentak selepas apa yang dikatakan sebagai Tsunami Politik melanda negara beberapa tahun sebelum ini. Isu-isu politik turut memberi kesan bukan sahaja kepada kepimpinan kerajaan namun menular sehingga ke peringkat akar umbi iaitu rakyat biasa yang sentiasa menjadi pemerhati dan mengharap kestabilan politik terus terjamin untuk kelangsungan ekonomi negara Malaysia. Kesemua ini memerlukan suatu entiti politik yang benar-benar stabil bagi menggerakkan jentera pentadbiran kearah mencapai segala visi dan misi yang digariskan oleh pemerintah negara dan negeri Sabah. Pada saya, cabaran politik masa kini berhadapan dengan pelbagai persepsi pengundi yang memerlukan sesebuah parti berusaha meyakinkan mereka tentang perjuangan sebenar yang akhirnya memberi kelebihan dan kepuasan untuk mempastikan kehidupan rakyat terus harmoni”.

BDB : Apa perbezaan yang anda lihat dalam senario politik dahulu dan masa kini?

Kong Soon Choi

“Saya tidak berniat membuat perbandingan untuk memenangkan mana-mana pihak. Pada saya, sewaktu pemerintahan kerajaan terdahulu, sudah tentu pada masa itu, kerajaan semasa telah menggariskan segala bentuk dasar yang membolehkan mereka menerajui kepimpinan negara dengan segala bentuk pendekatan popular untuk kebaikan rakyat.

“Namun seperti pasang surut air laut, dalam satu-satu kepimpinan kerajaan, memang terdapat isu-isu yang di canang oleh pihak lawan yang biasa berlaku dalam politik. Dalam era pemerintahan ketika ini, saya yakin para pemimpin sudah mengambil pelbagai pengajaran lalu untuk terus memperbaiki segala kelemahan untuk tidak mengulanginya. Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri antara pendekatan yang seimbang dengan mengambil kira semua peringkat rakyat tidak kira bangsa dan fahaman agama. Ini antara pembaharuan senario politik masa kini yang mewujudkan bangsa Malaysia yang harmoni dan saling hormat-menghormati diantara satu dengan yang lain.

“Seperkara lagi, pada masa kini kerajaan amat komited untuk meningkatkan ekonomi rakyat selepas berhadapan dengan cabaran menangani wabak penyakit Covid-19 yang memberi kesan besar kepada ekonomi negara. Usaha gigih kerajaan dilihat jelas oleh semua peringkat rakyat”.

BDB : Dalam mendepani cabaran politik masa kini di negeri Sabah, apa yang terbaik pada pandangan anda untuk mewujudkan kestabilan politik di negeri ini?

Kong Soon Choi

“Sebagai pemimpin muda dalam politik negeri Sabah, sudah tentu saya juga sependapat dengan rakyat negeri ini ingin melihat kestabilan politik yang seterusnya menjamin taraf kehidupan yang sempurna kepada rakyat Sabah. Saya bersetuju dengan pendekatan kerajaan negeri menubuhkan entiti politik dibawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menggabungkan beberapa komponen parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Dengan tertubuhnya GRS, sudah tentu perjuangan agenda menegakkan hak-hak negeri Sabah boleh di usulkan secara sebulat suara kerana terdapat sokongan beberapa parti didalam gabungan itu yang menguatkan lagi suara kerajaan negeri ke peringkat atasan. Dalam masa sama, perjalanan politik juga akan lebih teratur kerana kita akan bergerak secara seiringan dengan hanya membawa satu lambang GRS dimana rakyat tidak lagi keliru pada PRU akan datang.

“Saya juga akan terus mempromosikan agenda perjuangan GRS ke senegap peringkat masyarakat di negeri ini agar mereka benar-benar memahami perjuangan kita. Seperti di negeri Sarawak, mereka turut membawa lambang perjuangan dibawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan ternyata rakyat di negeri itu kini faham tentang rentak politik di sana. Saya mengharapkan GRS akan terus kukuh dan bersatu padu bagi mempastikan kemenangan dalam PRU akan datang”.

BDB : Apa cabaran anda selaku Ketua Wiramuda Star dalam senario politik masa kini?

Kong Soon Choi

“Bercakap mengenai cabaran, saya boleh katakan sejuta cabaran mendatang sejak saya memikul tanggungjawab selaku Ketua Wiramuda Star. Namun, segala cabaran itu perlu saya hadapi dengan tenang dan profesional. Selepas memenangi jawatan Ketua Wiramuda Star dalam pemilihan parti sebelum ini, satu cabaran saya adalah bagaimana untuk meyakinkan golongan muda mudi di negeri Sabah ini mengenai perjuangan parti kami. Seperti mana yang kita sedia maklum, kemajuan teknologi canggih masa kini membuatkan golongan muda mudi begitu pantas mendapat ekses informasi yang membolehkan mereka membuat penilaian sesuatu agenda perjuangan atau isu. Saya berhadapan dengan pelbagai persepsi dari golongan ini dan saya perlu melontarkan sesuatu isu itu secara lebih matang sesuai dengan kehendak golongan muda mudi”.

BDB : Apa pendapat anda selaku pemimpin muda dalam politik mengenai politik berteraskan kesukuan dan keagamaan?

Kong Soon Choi

“Politik itu ada pro dan kontra. Kita tidak dapat lari dengan politik berbaur kesukuan dan keagamaan. Umpamanya parti politik berteraskan kaum Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR), sudah tentu perjuangannya memihak kepada suku kaum majoriti di Sabah. Begitu juga dengan parti-parti lain yang masing-masing mempunyai tonggak perjuangan satu-satu suku kaum dan agama. Namun bagi saya, apa yang penting adalah bagaimana kita memperjuangkan parti politik itu. Jangan lah sampai seseorang pemimpin itu terlalu taksub sehingga membelakangkan konsep keharmonian kaum dan agama yang terdapat di negara ini.

“Adalah tidak adil sekiranya kita membidas sesuatu isu itu sehingga mengapi-apikan bangsa dan agama lain. Itu tidak releven dalam dunia politik masa kini. Sebagai pemimpin politik yang matang, adalah lebih baik jika agenda perjuangan dalam politik kita masukkan segala bentuk konsep keharmonian baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang”.

BDB : Sebelum kita menutup bicara, apa harapan anda selaku pemimpin muda untuk mempastikan kestabilan politik negara Malaysia dan Negeri Sabah terus berkekalan?

Kong Soon Choi

“Sebagai ‘Politician’, kita masing-masing mempunyai agenda perjuangan tersendiri. Namun dalam mempromosikan agenda perjuangan itu, kita hendaklah memiliki sifat toleransi dengan mengutamakan norma masyarakat majmuk yang terdapat di negara kita dan negeri Sabah. Pada pandangan saya, kestabilan politik akan lebih terjamin jika semua peringkat dalam parti-parti politik sentiasa berpegang teguh pada perisian dalam Rukun Negara. Jadi harapan saya, kita sama-sama renungkan bahawa pada akhirnya, politik hanya tinggal politik, tetapi persaudaraan dan persahabatan adalah sesuatu yang sukar dicari ganti”.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN