Keadaan motosikal dan kereta proton Pesona selepas kemalangan dihadapan pasaraya Sabindo, Ranau, semalam.
RANAU: Seorang penunggang dan pembonceng motosikal cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan di hadapan pasaraya Sabindo, dekat Kampung Lasing, di sini semalam.
Dalam kejadian 7.10 malam, dua mangsa remaja lelaki tempatan berusia 15 dan 17 tahun berasal dari Kg.Tanah Merah dan Kg.Kilimu, parah di bahagian kaki.
DSP Sammy Newton
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta proton Pesona dari arah Telupid menghala Ranau, membelok masuk ke pasaraya Sabindo, lalu melanggar sebuah motorsikal yang datang dari arah bertentangan.
“Kejadian itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal jenis Yamaha yang masih pelajar cedera parah di kaki. Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan.
“Manakala pemandu proton Pesona berusia 34 tahun, beralamat Penampang dan dua penumpangnya, berusia 39 dan 38 tahun, masing-masing dari Teipok dan Kepayan, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut,” katanya kepada media semalam.