GAMBAR ATAS: Sekadar hiasan
RANAU: Dua lelaki tempatan ditahan selepas didapati memiliki dadah disyaki jenis syabu bertempat di tepi jalan Kampung Kiringo Kinandusan, Kundasang, kemarin.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, suspek lelaki berumur lingkungan 28 dan 35 tahun itu ditahan sepasukan anggota Polis URB IPD Ranau yang sedang menjalankan tugas rondaan di sekitar Kundasang.
Katanya, ketika kejadian pada jam lebih kurang 12.50 tengah hari, kedua-dua suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta jenis perodua kancil di tepi jalan Kg. Kiringo, Kundasang.
“Pemeriksaan ke atas kereta suspek telah menemukan dadah di dalam sebuah beg berzip sebanyak tiga peket plastik lutsinar yang berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis Syabu anggaran berat kasar 6.0 gram bersama beberapa peralatan lain yang disyaki alat menghisap dadah. Harga dadah semasa yang dirampas dianggar bernilai RM700.
“Polis turut melakukan ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek namun didapati negatif daripada sebarang dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut DSP Sammy, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau untuk tindakan lanjut dan Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan dadah kepada polis IPD Ranau.
“Bantu kami untuk membasmi kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini,” tambah DSP Sammy./-