DITAHAN…. Kedua-dua suspek yang ditahan polis dalam kejadian curi tablet di sebuah rumah di kampung Sungai Lada, semalam.
LABUAN: Dua lelaki remaja warga tempatan berjaya ditahan polis kerana disyaki mencuri satu unit tablet jenama Apple iPad kepunyaan bekas pesara tentera di kediamannya di Kampung Sungai Lada, semalam.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Ahmad Jawila berkata, kedua-dua suspek ditahan secara berasingan selepas pemilik iPad tersebut membuat laporan polis pada 5.30 petang (14Julai).
“Pengadu bersama isterinya yang sedang tidur ditingkat atas rumahnya mendengar anjing peliharaannya menyalak dengan kuat dan mula mensyaki rumah mereka telah dimasuki pencuri selepas mendapati tablet miliknya yang diletakkan di meja makan tingkat bawah rumahnya hilang” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Menurutnya lagi, susulan daripada laporan itu pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berkenaan berjaya mengesan suspek.
“ Kira-kira jam 1.20 petang polis berjaya mengesan suspek pertama seorang penganggur di Hospital Labuan ketika mendapatkan rawatan dan hasil siasatan lanjut membawa kepada tangkapan suspek kedua di sebuah rumah di Taman Mutiara, Sungai Bedaun” katanya.
Hasil penangkapan kedua-dua suspek, pihak polis telah berjaya merampas semula iPad yang dilaporkan hilang. Semakan kesalahan lampau mendapati, suspek kedua pernah ditangkap kerana kesalahan menagih dadah.
Kedua-dua suspek yang berusia 18 tahun itu ditahan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda.