air ketum yang yang telah diproses dan dibotolkan disimpan dalam peti sejuk sebelum dirampas pihak polis di sini pada Ahad.- Foto: IPD Ranau
RANAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan kegiatan penjualan dan pemprosesan ketum dalam dua operasi berasingan di Kampung Bongkud, di sini, semalam, yang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan serta rampasan daun dan air ketum.
Dalam serbuan pertama kira-kira jam 2 petang, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menahan seorang lelaki berusia 37 tahun.
Pemeriksaan lanjut menemui satu karung guni mengandungi daun ketum seberat 1.4 kilogram, selain sebuah tong gas dan dapur masak yang dipercayai digunakan untuk memproses bahan berkenaan.
Kira-kira sejam kemudian, pada jam 3 petang, seorang lagi lelaki berusia 49 tahun diberkas dalam operasi susulan di lokasi sama. Polis turut merampas 18 botol plastik berkapasiti 1.5 liter setiap satu berisi cecair disyaki air ketum yang disimpan di dalam peti sejuk, selain tong gas dan dapur masak.
Kesemua tangkapan dilakukan oleh pasukan BSJN IPD Ranau yang diketuai Insp. Abdul Fatah Qasim.
Ketua Polis Daerah Ranau, Supt. Mursalin Mahmud, berkata pengambilan dan pemprosesan cecair ketum merupakan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi membanteras aktiviti penjualan dan pemprosesan ketum yang menyalahi undang-undang bagi memastikan kesejahteraan serta keselamatan masyarakat di daerah ini.



