25 C
Kota Kinabalu
Rabu, Disember 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

DSP Sammy Newton ucap terima kasih kepada seluruh Pegawai dan Anggota PDRM, IPD Ranau.

Oleh: Aduka Jasnin Sumam

RANAU: Bekas Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Sammy Newton merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh barisan Pegawai dan Anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang telah memberikan khidmat terbaik sepanjang beliau menjawat ketua polis di daerah ini.

Katanya, kejayaan yang dicapai oleh pasukan PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau ketika beliau menerajui kepimpinan polis daerah ini merupakan hasil kerjasama jitu dari segenap barisan Pegawai dan Anggota yang saban hari bertugas tanpa mengira jemu dan penat lelah.

‘’Ibarat sepasukan bola sepak, saya hanyalah sebagai pengurus dan tuan-tuan serta puan-puan adalah ahli dalam pasukan tersebut. Kejayaan tidak akan tercapai sekiranya tiada kerjasama antara pemain dalam pasukan. Justeru, selama saya menerajui pasukan ini, anda semua telah menunjukkan komitmen yang terbaik’’, tegas Sammy dalam amanat terakhir beliau selepas menandatangani dokumen serah menyerah tugas jawatan Ketua Polis Daerah Ranau pada Rabu.

DSP Sammy Newton menyerahkan dokumen tugas kepada P/DSP Simiun Lomudin, Ketua Polis Daerah Ranau yang baru sambil disaksikan oleh DCP Datuk Mazli Bin Mazlan, Timbalan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sabah.

Majlis serah menyerah tugas jawatan Ketua Polis Daerah Ranau diadakan secara tertutup di Ibu Pejabat Polis Daerah ini tanpa kehadiran orang ramai berikutan tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sehingga 28 Jun 2021 depan.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan agar semua Pegawai dan Anggota PDRM IPD Ranau terus memberikan komitmen penuh kepada Pemangku DSP Simiun Lomudin Ketua Polis Daerah yang baru. Jelas beliau, sebagai seorang Pegawai Polis, tiada istilah mengeluh kerana kerjaya ini memerlukan kecekalan dan tahap keperofesionalisma yang tinggi untuk menabur bakti kepada masyarakat dan negara.

‘’Tanpa komitmen dan kesungguhan dari semua barisan Pegawai dan Anggota pasti kejayaan sukar diperolehi. Oleh itu, berilah komitmen kepada KPD Ranau yang baharu seperti mana yang tuan-tuan dan puan-puan telah berikan kepada saya’’, jelasnya yang berasal dari Kg. Topokon, Tuaran.

Sammy merupakan Ketua Polis Daerah Ranau Ke-12 dalam senarai dan memulakan tugasan itu sejak 02 Disember 2019 dan berakhir pada 16 Jun 2021. Beliau akan bertukar ke Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Kota Kinabalu dengan menyandang jawatan Ketua Bahagian Kepolisan Am yang berkuatkuasa pada 21 Jun 2021.

Antara lakaran kejayaan besar PDRM IPD Ranau dibawah pentadbiran beliau termasuklah memerangi kejadian jenayah dan penyalahgunaan najis dadah sehingga tertangkap beberapa suspek yang didakwa dibawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B akta yang sama. Sammy turut merakamkan kenangan manis bersama Pegawai dan Anggotanya dalam satu kerja amal ‘Community Policing’ dengan membina sebuah pondok tempat sekumpulan pelajar pedalaman di Kg. Paus mengulangkaji pelajaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan pada 29 Januari 2021 lepas.

Kerja amal itu mendapat pujian meluas dari segenap masyarakat setempat termasuk bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang merakamkan ucapan tahniah kepada Sammy dan pasukannya dalam paparan facebook milik pemimpin itu. Selain itu, beliau juga telah mempamerkan komitmen tinggi dalam melaksanakan penugasan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga menjadikan daerah Ranau paling rendah angka jangkitan Covid-19.

Selain itu, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh masyarakat daerah Ranau serta barisan pemimpin dan kakitangan kerajaan yang telah memberikan kerjasama kepada beliau sepanjang perkhidmatannya di daerah ini. Beliau berharap, kerjasama erat seumpama itu akan berkekalan sesuai dengan moto PDRM ‘Polis Dan Masyarakat, Berpisah Tiada’.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN