26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Dr. Fary bersyukur semua pelajar yang pulang ke Labuan Negatif Covid 19.

KENANGAN…. Dr. Fary (tiga dari kiri) bersama pengamal media pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada pengamal media


LABUAN: Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman menzahirkan rasa syukur kerana kesemua 153 pelajar yang pulang dari Semenanjung dan Sarawak dan telah menjalani kuarantin sejak minggu lalu negatif Covid 19.


Beliau berkata, seramai 111 pelajar institusi pengajian tinggi dari Semenanjung dan 42 pelajar dari institusi pengajian tinggi di Sarawak telah disahkan negatif Covid 19 selepas mereka menjalani kuarantin di dua buah pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan sebaik tiba di Lapangan Terbang Labuan minggu lalu.


“ Kita bersyukur kesemua 153 pelajar membabitkan 111 pelajar dari Semananjung dan 42 pelajar dari Sarawak disahkan negatif Covid 19 oleh Jabatan Kesihatan Labuan yang memantau rapi pelajar berkenaan sepanjang berada di pusat kuarantin” katanya.

SERAH Dr Fary menyampaikan sumbangan kepada Setiausaha Persatuan Penggiat Media Labuan, Noor Affatizah Sabtu (dua kanan) sambil diperhatikan Supian (kanan sekali) dan Dg. Salmah (kiri sekali)


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada pengamal media dan petugas media yang bertugas di Pusat Media Covid 19 sumbangan daripada Perbadanan Labuan yang diadakan di Wisma Perbadanan Labuan, malam kelmarin.


Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Supian Musa, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Fauziah Mohd Sidek, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat Perbadanan Labuan, Dg. Salmah Abas dan Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan, Jainudin Djimin.


Dr. Fary yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pengamal media serta petugas yang terlibat di Pusat Media Covid 19 sepanjang membuat liputan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid 19.


“ Kerjasama yang baik serta liputan yang telus dan berterusan oleh pengamal media bukan sahaja membantu masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang sahih tetapi juga mampu mencorakkan perlakuan masyarakat lebih bertanggungjawab dan berdidikasi” katanya..

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN