25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Desak kerajaan selesai isu SMK Kundasang, tolak fitnah politik

Datuk Japiril Suhaimin


RANAU: Aktivis sosial dan anak jati Kundasang, Datuk Japiril Suhaimin, tampil menyuarakan kekecewaan berhubung isu berlarutan melibatkan SMK Kundasang yang menurutnya masih belum diberikan penyelesaian tuntas oleh pihak berwajib meskipun perjuangan masyarakat setempat telah berlangsung lebih satu dekad.

Japiril mengingatkan bahawa sejak 2013, ketika beliau menjadi Pengerusi PIBG SMK Kundasang, beliau bersama masyarakat setempat bangkit mempertahankan sekolah itu daripada dipindahkan dari tapak asal. Katanya, pendirian rakyat Kundasang kekal teguh, sekolah berkenaan tidak boleh dialihkan dan mesti dipertahankan demi masa depan pendidikan anak-anak daerah itu.

Beliau menjelaskan bahawa masyarakat telah menggunakan segala saluran termasuk kenyataan akhbar, demonstrasi, bantahan rasmi serta pertemuan bersama menteri, namun semua usaha tersebut tidak membuahkan hasil kerana keputusan akhir berada sepenuhnya di tangan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dalam kenyataan pada Isnin, Japiril mengecam tindakan pihak tertentu yang didakwa terus menyebarkan fitnah kononnya beliau terlibat meminta sekolah itu dipindahkan. Beliau menyifatkannya sebagai “fitnah murahan” yang kembali dimainkan saban kali menjelang pilihan raya demi kepentingan politik.

Japiril menegaskan bahawa tuduhan itu tidak benar serta merupakan usaha terdesak untuk mengelirukan masyarakat. Katanya, beliau tidak akan berdiam diri apabila namanya dipergunakan untuk memanipulasi sentimen penduduk Kundasang.

Beliau turut menggesa Wakil Rakyat Kundasang dan Ahli Parlimen Ranau supaya berhenti memberi alasan dan segera mengambil tindakan nyata bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Menurutnya, jika infrastruktur lain seperti jalan runtuh boleh dibaiki dan diperkukuh, tidak ada sebab teknikal atau munasabah untuk mengatakan tapak SMK Kundasang tidak boleh dipertahankan.

“Ini bukan soal teknikal, ini soal kemahuan politik,” tegasnya sambil menambah bahawa isu tersebut bukan perkara kecil, sebaliknya melibatkan maruah masyarakat Kundasang dan hak pendidikan generasi muda.

Japiril turut menyeru pemimpin kampung, ketua komuniti serta seluruh penduduk yang sayangkan Kundasang agar bangkit bersuara dan mendesak pihak berkaitan tanpa kompromi supaya hak masyarakat tidak diketepikan.

Beliau menegaskan bahawa tuntutan masyarakat adalah jelas, SMK Kundasang mesti dikembalikan ke tapak asalnya, dan komitmennya untuk terus mempertahankan pendirian itu tidak akan goyah biarpun berdepan pelbagai tohmahan.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN