Datik James (kiri) semasa melawat booth pameran pada program itu
RANAU: Masalah penyalahgunaan dadah menyebabkan berlakunya peningkatan kes perceraian kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib pada hari Selasa.
“Perceraian rumah tangga membabitkan masalah kewangan kesan dari penagihan dadah menjadi masalah biasa sering berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini.
“Statistik dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2019 menunjukkan sebanyak 83 peratus atau 309 kes keganasan rumah tangga dilaporkan berpunca penagihan dadah dalam keluarga,” kata beliau.
James yang juga Pengerusi PEMADAM Negeri Sabah berkata, terdapat kes penagih dadah yang sedang dilanda fasa ketagihan memukul isteri untuk mendapatkan wang dan mencuri barang kemas serta duit ahli keluarga kandung.
Tambah beliau, kehancuran institusi keluarga turut berlaku disebabkan faktor pengabaian nafkah isteri dan anak-anak memandangkan penagih dadah menghabiskan wang mereka untuk membeli dadah.
Keadaan ini, ujar beliau, menyebabkan isteri terabai dari segi nafkah bertindak dengan memfailkan perceraian.
Menurut James lagi, terdapat banyak kes jenayah ringan dan berat yang telah berlaku mengaitkan kegiatan penagihan dadah.
“Insiden-insiden seperti pecah rumah, kecurian, kes cabul malah pembunuhan, kesemuanya ada berhubungan dengan masalah pengaruh dadah.
“Pada awal tahun 2022, negara kita telah digemparkan dengan berita seorang penagih dadah memenggal kepala ibu kandungnya berusia 56 tahun di salah sebuah negeri di Semananjung, setelah gagal mendapatkan wang untuk membeli dadah.
“Kejadian sebegini menunjukkan betapa besarnya pengaruh dadah ke atas masyarakat ketika ini. Penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat kini menjadi ancaman terutama kepada golongan belia yang mudah terpengaruh,” kata beliau.
Menurut James lagi, masalah ketagihan dadah melampau menyebabkan penagih dadah hilang kawalan atau gagal untuk mengawal nafsu diri mereka.
Keadaan ini menyebabkan ada dalam kalangan penagih dadah sanggup melakukan kegiatan jenayah seperti mencuri, merompak, menyamun serta dalam sesetengah kes membunuh sebagai jalan mudah mendapatkan Sumber kewangan.
Penagih dadah mempunyai kecenderungan tinggi untuk terbabit dalam aktiviti jenayah mencuri dan merompak sebagai jalan pintas untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.
Namun, tambah James, penyalahgunaan dadah tidak mengenal faktor usia kerana sesiapa sahaja boleh terjerat ke kancah itu sekiranya tidak berwaspada dan menjaga diri.
“Turut menjadi kerisauan apabila terdapat kes kanak-kanak seawal 8 tahun mula menunjukkan tanda awal terjebak dengan penagihan dadah apabila terbabit dengan aktiviti menghisap rokok dan menghidu gam.
“Aktiviti menghisap rokok menjadi permulaan kepada golongan muda untuk terbabit dalam kancah penyalahgunaan dadah.
“Oleh itu, langkah pencegahan perlu dimulakan daripada peringkat awal lagi. Rakyat juga perlu berganding bahu dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah dengan memperkasakan institusi kekeluargaan dan agama,” kata beliau.
James yang juga merupakan Adun Sugut berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Program TABAH dan Program Kempen Sayangi Keluarga Daerah Ranau yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau pada hari Selasa.
Program tersebut merupakan anjuran bersama KPMKR dan Biro Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah dan juga PEMADAM Negeri Sabah, dengan kerjasama Pejabat Daerah Ranau.
“Tahniah saya ucapkan kepada Jawatankuasa Pelaksana atas komitmen dan kerjasama yang padu dalam menjayakan Program dua dalam satu pada hari ini.
“Program TABAH merupakan Program Kesedaran dan motivasi kepada komuniti setempat tentang bahaya penyalahgunaan dadah, manakala Program Kempen Sayangi Keluarga merupakan program khusus untuk pendedahan teknik dan kemahiran penjagaan warga emas,” jelas beliau.
Program tersebut telah dilancarkan pada 9 Mac 2023 di Daerah Kecil Paitan dan program tersebut akan disusuli ke daerah Kunak, Kudat dan Nabawan.