25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Cukup-cukuplah Auta, Kita Jawab Dengan Fakta” : Armizan

Armizan

KOTA KINABALU : Dalam tempoh akhir kempen PRN Sabah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak & Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali tampil menjawab siri serangan politik yang dilemparkan terhadap beliau dan GRS oleh pimpinan Barisan Nasional (BN), khususnya Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.

Menurut Armizan, beliau selama ini memilih untuk berdiam diri atas rasa hormat kepada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Namun apabila serangan semakin melampaui batas, beliau terpaksa bersuara – bukan dengan cercaan, tetapi dengan fakta.

“Kalau GRS dikata paling gagal di dunia, Bung pula Menteri KKR paling gagal dalam sejarah peradaban manusia.”

Armizan berkata, tuduhan Bung kononnya GRS adalah kerajaan paling gagal di dunia langsung tidak berasas. Sebaliknya, rekod semasa Bung memegang jawatan Menteri KKR jelas menunjukkan kegagalan menyelesaikan isu legasi besar yang menekan rakyat Sabah, terutamanya air dan elektrik.

“Fenomena BungSpeed yang diwar-warkan itu hanya kerja rutin seperti tampal jalan, tebing runtuh dan naik taraf kecil yang memang sudah ada peruntukan. Isu besar yang memerlukan keberanian dan kebijaksanaan – gagal dirintis,” katanya.

Armizan menegaskan, dalam tempoh dua tahun Bung berada di KKR, peluang untuk mendapatkan peruntukan besar bagi projek kritikal seperti

  • Naik Taraf Loji Rawatan Air Kogopon Papar
  • Loji Rawatan Air Cinta Mata 2 Tawau
  • Pembinaan Grid Southern Link

— tidak digunakan, walaupun ketika itu Menteri Tenaga dan Perdana Menteri datang daripada parti UMNO sendiri.

“Semua isu itu akhirnya berjaya diselesaikan hanya selepas Bung tidak lagi dalam Kerajaan Negeri,” tegas Armizan.

Menjawab dakwaan berkait kenaikan harga LPG, Armizan menjelaskan bahawa harga LPG masih kekal dengan subsidi penuh kerajaan.

“Itu bidang kuasa Kerajaan Persekutuan yang dipimpin BN sendiri ketika Bung lantang menuduh. Tidak bagus mengelirukan rakyat dan lebih tidak wajar mensabotaj kerajaan sendiri,” katanya.

Armizan turut menjawab tuntutan jentera BN yang mendakwa penurunan kuasa projek RM50 juta ke bawah kepada JKR dan JPS Sabah adalah hasil ketegasan Bung.

Hakikatnya, kata Armizan, cadangan tersebut adalah sebahagian tuntutan MA63 yang dibawa ke perundingan Persekutuan-Negeri sejak pentadbiran sebelum ini, namun tidak pernah dipersetujui. Segalanya berubah apabila Kerajaan Madani mengambil alih.

“Pada 21 Disember 2022, saya membentangkan outstanding issues MA63. Kemudian MOF di bawah DS Anwar Ibrahim memberi lampu hijau. Pada 4 Januari 2023, Kabinet meluluskan penurunan kuasa itu. Ini bukan kerana ketegasan mana-mana individu. Ini komitmen Perdana Menteri terhadap MA63.”

Beliau mengingatkan agar tiada pihak “overclaim” sehingga menafikan hakikat sebenar, termasuk tuntutan Sarawak yang turut konsisten memperjuangkan perkara sama.

Isu JPKK: Bila Tidak Dalam Kerajaan Negeri, Kuasa Ditahan di Putrajaya

Armizan menempelak sikap “pilih bulu” BN Sabah dalam isu MA63.

Selepas tidak lagi menjadi sebahagian Kerajaan Negeri, kuasa melantik JPKK dipindahkan ke Putrajaya melalui KKDW – bercanggah dengan semangat federalisme dan MA63.

“Ini party-over-state interest. Utamakan parti, pinggirkan negeri,” katanya.

Malah, sejak 2024 hingga kini, peruntukan elaun JPKK tidak disalurkan kepada Kerajaan Negeri Sabah – sesuatu yang menurut Armizan, dilakukan atas kehendak politik BN Sabah sendiri.

Pendiriannya Tentang 40% Hak Sabah: Nada Bung Serupa Menteri BN Dulu

Armizan turut mempersoalkan pendirian Bung yang sebelum ini memberi amaran bahawa Persekutuan akan bankrap jika melaksanakan 40% special grant Sabah.

“Ini nada yang sama dengan seorang mantan Menteri Persekutuan semasa era BN. Maka rakyat boleh nilai kesungguhannya terhadap hak Sabah,” tegas beliau.

“Jangan bikin terbalik Sabah pada 29 November.”

Menutup kenyataannya, Armizan menyeru rakyat Sabah menilai dengan jernih, jangan sampai tersilap langkah.

“29 November ini, jangan sampai kita bikin terbalik Sabah. Pilihan kita menentukan masa depan negeri.”

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN