Para pendaki mengambil gambar kenangan bersama malim gunung dengan berlatarkan Gunung Kinabalu ketika tiba di Kinabalu Park. Turut kelihatan Ashton (tiga kiri) dan Anthony (empat kiri).
RANAU: Cuaca dingin dan berangin tidak mematahkan semangat tujuh pendaki untuk meneruskan misi menawan puncak Gunung Kinabalu baru-baru ini.
Kesemua pendaki yang terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita itu berjaya tiba di puncak pada pukul 7.00 pagi biarpun suhu berada pada negatif dua darjah celcius.
Mereka ialah Anthony Onggoi, Alandev Anthony, Jocelyn Marciana, Ashton Xander De Anthony, Ivy Marcella Kayawa, Tanjong @ Edith Embagos dan Christella Raymond dari kelab Aki Nabalu Tamparuli.
Bagi peserta termuda Ashton, 12, perjalanan menuju ke puncak seakan dekat pada pandangan mata kasar namun hakikatnya masih jauh.
Berbekalkan niat, kesungguhan dan dan kata-kata semangat daripada ayahnya Anthony, Ashton antara yang pertama sampai ke puncak.
āWalaupun berangin selain suhu berada pada paras negatif dua darjah celcius, saya berjaya untuk naik ke atas puncak.
āSaya berasa bangga dan tidak menjangka dapat menamatkan pendakian hingga ke puncak,ā katanya yang bersekolah di Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Bantayan Tamparuli.
Sementara, itu Jocelyn berkata, pengalaman mendaki Gunung Kinabalu adalah amat mencabar bagi mereka yang mendaki gunung tersebut untuk pertama kali.
Katanya, sewaktu menuju ke puncak, beliau menggigil kesejukkan ditambah lagi dengan angin yang kuat.
āPendakian ini amat memenatkan namun dalam masa yang sama menyeronokkan,ā ujarnya.
Para Pendaki mengambil gambar kenangan ketika berada di puncak Gunung Kinabalu. Ashton dan ayahnya turut mengibarkan bendera sekolah semasa berada di puncak.
Terlebih dahulu kesemua mereka bermalam di Panalaban sebelum meneruskan pendakian pada Sabtu, jam 2.30 pagi.
Dalam pada itu, Anthony selaku ketua rombongan ekspedisi mendaki memaklumkan, pengalaman mendaki gunung tertinggi di Malaysia itu amat menguji mental.
āWalaupun saya telah lebih 10 kali mendaki Gunung Kinabalu, namun saya masih merasakan bahawa pendakian ini cukup mencabar.
āKami terpaksa menggunakan sepenuh tenaga, lebih-lebih lagi pada ketika cuba bertahan dalam keadaan yang sejuk.
āSebenarnya pada ketika menghampiri puncak, kami ada mengalami sedikit kesukaran untuk bernafas kerana situasi yang agak berangin dan dingin, namun ia sama sekali tidak mematahkan semangat untuk menggapai ke puncak tertinggi dan berjaya mendapat sijil dan pingat daripada Taman Kinabalu.
āTerima kasih juga kepada malim gunung yang sentiasa memberikan arahan dan mengawal pergerakan kami sehingga pergi dan balik dengan selamat,ā katanya.
Pendakian bermula pada Jumaat, bermula di Pondok Timpohon menuju ke Panalaban sebelum bermalam di Laban Rata.
Ekspedisi menuju ke puncak Low bersambung pada jam 2.30 pagi, para pendaki diberikan taklimat oleh malim gunung sebelum bergerak ke puncak yang mengambil masa tiga ke empat jam.