Hj. Ruslan (kanan) ketika menyerahkan sumbangan kepada Klinik Padas Damit, yang diterima oleh Dr. Muhammad Afiq, (kiri) di Beaufort kelmarin.
BEAUFORT, 30 Januari 2021: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan diingatkan supaya sentiasa berwaspada terutama selalu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar penularan jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan YB Hj. Ruslan mengingatkan perkara itu ekoran kes baharu pandemik berkenaan di DUN berkenaan.
Oleh yang demikian, Klinik Padas Damit akan membuat saringan dari semasa ke semasa bagi penduduk di kawasan itu.
“Sebagai wakil rakyat di sini, saya terpanggil untuk memberikan sumbangan bagi mengelakkan berlakunya kesesakan ruang di klinik berkenaan.
“Ini adalah sebagai persiapan awal pihak klinik sekiranya berlaku kebarangkalian orang ramai berpusu-pusu membuat saringan, maka khemah dan kerusi serta meja ini boleh digunakan,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan tersebut.
Antara barangan yang disumbangkan adalah seperti khemah, kelengkapan kerusi dan meja, peralatan elektronik dan minuman.
Sumbangan ini diterima oleh doktor Klinik Padas Damit, Dr. Muhammad Afiq Hamidin Zainuddin.
Pada masa yang sama, Hj Ruslan mengingatkan kepada pemimpin setempat untuk memberi peringatan kepada penduduk kampung agar tidak membuat sebarang perjumpaan mahupun majlis kenduri bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Terdahulu, Hj. Ruslan bersama Pemaju Mukim, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penduduk setempat bergotong royong membaiki jambatan menuju ke rumah warga emas, Jono Okih yang tinggal bersama isterinya di kampung Tamalangalong, Beaufort.
Hj. Ruslan sempat meluangkan masa beramah mesra dengan Jono yang mengalami sakit kaki setelah sekian lama dan setiap bulan memerlukan rawatan di hospital Beaufort.
Akibat daripada masalah kesihatan yang dihadapinya, Jono kini kehilangan punca pendapatan.
Hj. Ruslan turut menyampaikan sedikit sumbangan demi meringankan bebanan hidup pasangan suami isteri berkenaan.