27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Budaya hidup tidak sihat beri impak negatif yang besar kepada negara: James

IKRAR… James (tangah) bersama yang lain membaca ikrar pada majlis itu

SANDAKAN: Peningkatan trend penyakit tidak berjangkit (NCD) akibat budaya hidup tidak sihat memberi impak dari segi peningkatan kematian pramatang iaitu kematian pada usia 30-69 tahun.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, YB Datuk James Ratib berkata, hal tersebut turut melibatkan peningkatan kos rawatan serta kehilangan produktiviti negara.

“Di Malaysia, sebanyak 73% kematian adalah disebabkan oleh penyakit berkaitan pembudayaan hidup tidak sihat.

“Kebarangkalian kematian pramatang di Malaysia akibat NCD adalah sebanyak 18% iaitu lebih tinggi daripada negara jiran kita, Thailand (14%) dan Singapura (9%) (WHO, 2022).

“Anggaran perbelanjaan negara bagi kos rawatan dan penjagaan kesihatan akibat kemasukan hospital, kardiovaskluar, diabetes dan kanser adalah sebanyak RM6.65 billion setiap tahun (WHO, 2022 – Direct Health Care Cost of Non-Communicable Disease in Malaysia),” katanya.

James yang juga ADUN Sugut merangkap Exco Kesihatan Negeri Sabah berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Negeri Sabah 2024 yang diadakan di Padang Bandaran, Sandakan pada hari Sabtu.

Justeru, katanya, sambutan BMSS merupakan satu inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat yang dirangka untuk meningkatkan literasi, memperkasa dan membina upaya rakyat Malaysia dalam pembudayaan hidup sihat dan persekitaran sihat.

“Menerusi BMSS, enam tingkah laku utama ditekankan adalah; Aktiviti fizikal,
Pupuk minda sihat, Amalkan makan secara sihat dan selamat, Jauhi tingkah laku berisiko, Jaga kebersihan diri dan persekitaran; dan Jalani saringan kesihatan termasuk pemeriksaan gigi.

“Usaha membudayakan hidup sihat ini merupakan tanggungjawab bersama. Setiap agensi perlu digembleng dengan penuh iltizam bagi memastikan masyarakat cakna akan kesihatan dan seterusnya membudayakan kehidupan sihat.

“Saya dengan ini menyeru semua masyarakat supaya menjaga kesihatan dengan melakukan saringan kesihatan secara berkala dan mengamalkan hidup sihat,” katanya.

Pengisian sambutan BMSS kali ini melibatkan pelbagai aktiviti kecergasan seperti Fun Run, Senamrobik BMSS, Sukan Rakyat dan banyak lagi di samping beberapa aktiviti saringan kesihatan dan aktiviti infotainment daripada agensi-agensi yang terlibat.

James mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Sambutan BMSS Peringkat Negeri Sabah 2024.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan dan anggota kesihatan di JKNS atas komitmen yang tidak berbelah bagi dalam usaha untuk meningkatkan status kesihatan rakyat negeri Sabah khususnya di daerah Sandakan.

“Saya menyaksikan pelbagai usaha telah diambil oleh JKNS yang tidak hanya tertumpu kepada penambahbaikan fasiliti kesihatan, sumber manusia, kebajikan anggota, rawatan kepada pesakit malah dalam masa yang sama juga turut memikirkan usaha-usaha yang perlu dilakukan terutama dalam meningkatkan pembudayaan hidup sihat dalam kalangan rakyat Sabah.

“Pelbagai strategi penjagaan kesihatan rakyat telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri termasuklah menyahut baik pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dengan mewujudkan Jawatankuasa Agenda Nasional Malaysia Sihat – Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ) yang saya pengerusikan sendiri.

“Penglibatan rakan-rakan strategik menunjukkan isu-isu kesejahteraan kesihatan merentasi sektor agensi atau jabatan kerana tema kesihatan perlu berada dalam semua polisi atau Health In All Policies dengan berpaksikan pendekatan Whole-of-Nation yang menjadi landasan kepada pelaksanaan inisiatif ANMS,” kata beliau.

Menurut beliau, usaha ini sangat penting dalam memastikan masyarakat Negeri Sabah membudayakan hidup sihat.

Oleh yang demikian, beliau menyeru agar semua pengunjung yang hadir ke majlis itu sama ada dari dalam atau luar daerah Sandakan mengambil kesempatan mendapatkan perkhidmatan dan khidmat nasihat kesihatan serta melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang telah disusun oleh pihak penganjur.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN