26.6 C
Kota Kinabalu
Rabu, Julai 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Bilik Gerakan Jawatankuasa Bencana Banjir di Pejabat Daerah Kecil Tamparuli diaktifkan – Jahid

SUMBANGAN….Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad Dexter Lau menyampaikan sumbangan kepada salah seorang wakil penduduk sambil disaksikan oleh Jahid (tengah).

TAMPARULI: Bilik Gerakan Jawatankuasa Bencana Banjir di Pejabat Daerah Kecil Tamparuli turut diaktifkan sebagai persiapan bagi memindahkan para penduduk sekiranya paras air naik. 

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim berkata peranannya adalah bagi mengumpul maklumat dalam keadaan yang telah dimurnikan untuk disampaikan kepada Bilik Gerakan Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah Tuaran. 

“Saya telah meminta Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli dan Pejabat Wakil Rakyat Tamparuli untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan bagi membantu penyaluran bantuan dan pemindahan mangsa-mangsa banjir yang terlibat,” katanya. 

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Creamos Bun Dan Roti Keras Manis kepada penduduk dikuarantin akibat Covid-19 di Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Dexter Lau, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak.

Katanya, pengaktifan serta-merta itu penting bagi menyampaikan maklumat mengenai mana-mana kawasan yang memerlukan bantuan seperti bot, pusat pemindahan, bantuan dapur segera dan sebagainya. 

Menurutnya, buat masa ini tiga kawasan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dikenal pasti adalah di Masjid Kampung Bunga Tenghilan, Dewan Tun Hamdan dan Dewan Seri Sulaman dan sekiranya perlu juga akan ditambah.

TINJAU…Jahid (kanan)semasa meninjau banjir di Kampung Sungai Damit salah satu kampung yang dilanda banjir.

Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli memberitahu, sejak pagi tadi beliau memantau keadaan-keadaan terkini banjir yang berlaku di kawasan berisiko yang dikenal pasti di kawasan Tuaran khususnya Tamparuli. 

“Jika perlu Pejabat Adun Tamparuli juga akan membantu menyediakan tempat bagi mengumpul maklumat dan menyelaras tindakan untuk penyaluran bantuan. 

Terdahulu, Jahid turut menghargai syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad diketuai Dexter kerana selain sudi mengongsikan rezekinya kepada masyarakat memerlukan, beliau turut bersetuju untuk menyumbang bun itu kepada mereka yang terjejas akibat banjir.

Majlis penyampaian sebanyak 7,000 Creamos Bun dan 1,000 Roti Keras Manis kepada lebih kurang 500 orang dari 9 kampung terlibat merupakan anjuran bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Pejabat Adun Tamparuli, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli.

Selepas majlis itu, Jahid turut melawat ke Kampung Sungai Damit, salah satu kampung yang turut dinaiki air.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN