25.8 C
Kota Kinabalu
Ahad, Januari 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kawasan tidak selamat diduduki, penduduk dinasihat pindah

Koleksi gambar yang menunjukkan kesan pergerakan tanah di Kg Lembah Permai setakat ini


RANAU: Penduduk di Kg Lembah Permai Kundasang dinasihatkan agar berpindah ke kawasan yang lebih selamat ekoran risiko tinggi kejadian tanah runtuh di sini pada Isnin.


Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani berkata, setelah mendapat nasihat daripada pihak Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) serta pihak Bomba dan Penyelamat, kawasan ini diistiharkan tidak selamat untuk didiami.


“Justeru itu penduduk dikawasan ini dinasihatkan agar mencari tempat yang lebih selamat,” tegas beliau.


Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan pemeriksaan bersepadu ke kawasan itu bersama beberapa pegawai dan agensi seperti Penolong Pegawai Daerah, anggota Bomba dan Penyelamat, JMG Sabah, PDRM, APM, Ranau Majlis Daerah (MDR), JKR, JPS dan JaPEN Ranau, kira-kira jam 10 pagi.

Jumain (kedua kanan) dan lain-lain semasa membuat pemantauan ke kawasan tersebut pada hari Isnin


“Hasil lawatan susulan ke kawasan yang dimaklumkan, kami membuat kesimpulan bahawa terdapat pergerakan tanah di Kg Lembah Permai.


“Menurut Penduduk Kg Lembah Permai, sering terdengar bunyi seperti objek terbelah atau dipatahkan,” katanya.


Jumain yang juga Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Ranau berkata, secara berjalan kaki dan pemeriksaan fizikal rumah di Lembah Permai dilakukan bersama penduduk kampung dan PPM Kundasang.


“Anggaran lima rumah berisiko tinggi (struktur rumah tidak kukuh) dikenal pasti. Terdapat keretakan besar di dinding, lantai dan bumbung.


“Impak besar pergerakan tanah dapat dilihat dengan ketara di bahagian hilir Lembah Permai.


“Antara kesan pergerakan tanah di bahagian hilir, serta pembentukan beberapa kolam takungan air,” katanya.


Jumain menambah, pihak JMG akan mengeluarkan laporan penuh mengenai hasil siasatan lapangan untuk tindakan selanjutnya.


“Saya juga menasihatkan warga kundasang khsususnya di kawasan yang berisiko agar sentiasa berhati-hati. Memandangkan cuaca masih dalam keadaan tidak menentu.


“Saya turut menyarankan agar menghentikan serta merta sebarang pembinaan struktur bangunan di kawasan-kawasan lereng bukit dan juga tebingan sungai,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN