OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN & BOY BAIRI.
Admin: Johnny Gampawi.
RANAU: Warganegara yang baik ialah mereka yang peka dalam mengamalkan disiplin untuk sentiasa berdiri pada bila-bila masa lagu “Negaraku” berkumandang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sepatutnya setiap yang bergelar rakyat Malaysia bangga untuk berdiri menghormati lagu kebangsaan.
Katanya, lagu keramat “Negaraku” mempunyai nilai tersendiri yang patut
dihormati sebagai mensyukuri dan menghargai kedaulatan, keamanan dan kemakmuran negara yang dinikmati selama ini.
“Apapun ketidakpuasan hati kita terhadap Kerajaan, kita terima secara terbuka dengan minda terbuka. Perlu diingat bahawa kebangsaan menjadi milik setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
“Selagi kita menjadi rakyat Malaysia dan tinggal di Malaysia, kita mesti hormat Lagu Kebangsaan kita kerana itu lambang kerakyatan kita dengan Negara kita.
“Seharusnya mereka yang bergelar warganegara Malaysia harus berbangga untuk berdiri menyanyikan lagu itu dalam apa jua majlis.
“Tetapi malangnya, masih ada di antara kita yang mengambil ringan mengenai perkara ini dan menganggap ia sekadar lagu biasa dan berani untuk tidak menghormatinya,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 2 Ranau sekaligus merasmikan Program MyKebun@SKP2R, bertempat di selolah itu baru-baru ini.
Jelas Masidi lagi yang juga Timbalan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah, tidak kiralah warga tempatan atau warga asing sekalipun, lagu kebangsaan wajar dihormati kerana ia suatu lambang kedaulatan sebuah negara.
Beliau mengulas kejadian baru-baru ini apabila sekumpulan individu ini yang dilihat tidak menghormati lagu kebangsaan dalam satu acara makan malam yang dipercayai di Sarawak sebelum menjadi tular di media sosial.
Dalam video itu, semua hadirin berdiri menyanyikan lagu kebangsaan, namun ada sekumpulan hadirin kelihatan duduk sambil bersembang dan menikmati makanan yang terhidang di atas meja sambil tersenyum ketika video itu sedang dirakam.
Â
Video berdurasi 22 saat itu juga dipercayai dimuat naik pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Shaow Tung Leong yang turut menyatakan bahawa tindakan tersebut diambil kerana menyanyikan lagu itu bukan urusannya.








