25 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mac 10, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Belia Kg.Kinapulidan kembangkan potensi kampung melalui pelancongan

Hadir sama Datuk Jonathan (empat kiri), Samdin (dua kiri), Ismail (dua kanan), Narkibin (tiga kanan) bersama tetamu lain.

RANAU: Belia Kampung Kinapulidan di sini melangkah setapak ke hadapan dengan menceburi sektor pelancongan selepas melaksanakan dua produk baharu iaitu Kinapulidan Water Rafting River dan Jungle Hiking yang dirasmikan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, baru-baru ini.

Program berkenaan merupakan inisiatif Rumah Komuniti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Kinapulidan di bawah Program Sejati Madani Sektor Pelancongan.

Aktiviti Jungle Hiking berpusat di Nuloh Tentegen atau Bukit Tentegen, kira-kira 1.5 kilometer dari kampung, manakala Water Rafting River dijalankan di Sungai Liwagu, yang terletak dua kilometer dari pusat Kg Kinapulidan.

Pengerusi JKKK Kg Kinapulidan, Narkibin Mohd Nasir berkata, kedua-dua aktiviti tersebut kini dibuka kepada orang ramai dengan kadar bayaran tertentu yang ditetapkan jawatankuasa penganjur.

“Program ini khas untuk mereka yang sihat fizikal dan gemar mencabar diri,” katanya.

Pegawai Pemantau Program Sejati Madani Ranau, Samdin Rijin yang hadir mewakili Datuk Jonathan, memuji usaha belia kampung berkenaan kerana berjaya mencetuskan peluang baharu dalam sektor pelancongan yang berpotensi menjana pendapatan lumayan.

“Usahakan sektor ini dengan bijak dan bersungguh-sungguh kerana ia mampu memberi pulangan besar kepada belia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kinapulidan, Ismail Galibin turut menyuarakan penghargaan dan keyakinannya bahawa kewujudan produk pelancongan tersebut akan menjadi pemangkin kemajuan kampung khususnya dalam memperkasakan belia.

“Saya bangga dengan inisiatif ini dan berharap ia terus mengangkat martabat belia untuk lebih maju ke hadapan,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Arus Desa Sabah, Marcel Anthony.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN