Hillary (ketiga kiri) bersama para belia di sini baru-baru ini
RANAU: Belia di kawasan ini digesa agar terus memberikan sokongan padu kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN N38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, yang sentiasa prihatin terhadap hal ehwal serta keperluan belia di sini.
Ketua Pergerakan Belia GRS Paginatan, Hillary Salmoen berkata, penglibatan langsung dan aktif wakil rakyat itu dalam aktiviti belia di kawasan ini bukanlah perkara baharu, malah telah bermula sejak dua penggal lalu.
“Ada antara calon yang hanya timbul menjelang pilihan raya dan mendakwa sebagai pejuang belia, namun golongan belia di sini hanya mendengar nama mereka baru-baru ini.
“Ada juga yang mengatakan masyarakat di kawasan ini memerlukan pemimpin muda yang terdiri daripada muka-muka baharu yang segar. Tetapi hakikatnya, golongan belia memerlukan pemimpin yang bernas, prihatin dan bejiwa muda.
“Selama ini, golongan belia di sini senantiasa disantuni tanpa berbelah bahagi oleh Datuk Abidin dan ini membuatkannya sangat dikenali dan mudah didekati oleh belia di kampung-kampung seluruh Paginatan,” katanya.
Sebagai Ketua Pergerakan Belia di sini, Hillary berkata beliau sendiri menyaksikan penglibatan aktif mantan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu, yang bukan sahaja hadir dalam pelbagai program belia, tetapi turut menyokong serta menyalurkan bantuan dan sumbangan bagi menjayakan pelbagai inisiatif dan aktiviti belia.
Beliau (Abidin), tambahnya, bukan sahaja mengambil peduli terhadap kebajikan mahupun hal ehwal belia di kawasan ini, malah turut menggariskan pelan pembangunan belia yang mantap untuk jangkamasa lima tahun akan datang.
“Ini termasuk usaha membangunkan Pekan Baharu Paginatan sebagai nadi ekonomi tempatan, serta menaik taraf jalan perhubungan yang menghubungkan kampung-kampung seluruh Paginatan bagi membuka lebih banyak peluang pendidikan, keusahawanan dan pembangunan komuniti belia,” katanya.
Apa yang menarik, katanya, pelan ini bukan sahaja tertumpu kepada golongan belia, malah merangkumi semua lapisan masyarakat termasuk wanita, kanak-kanak, warga emas dan lain-lain.
Justeru, beliau menyeru masyarakat di sini, khususnya golongan belia agar terus memberikan sokongan padu kepada Datuk Abidin untuk menerajui kepimpinan di kawasan ini pada penggal akan datang demi memastikan kesinambungan pembangunan belia dapat diteruskan.



