LOKMAN SUNGGIM
BEAUFORT: Bekas Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort, Lokman Sunggim (gambar kecil) akan kembali semula ke pangkuan Umno selepas mengumumkan keluar dari Upko untuk menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau mengambil keputusan mengikuti pendirian dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Upko, Adun Kuala Penyu, Datuk Limus Jury dan Adun Sugut, Datuk James Ratib yang meninggalkan parti pada Isnin lepas dan menjadi Adun Bebas.
Difahamkan, ramai anggota pucuk pimpinan Upko Bahagian Beaufort juga sudah mengambil keputusan untuk keluar parti untuk bersama bekas Ketua Bahagian Upko Beaufort, Datuk Limus Jury yang juga Naib Presiden melepaskan semua jawatan dan keahlian dalam parti tersebut.
Menurut Lokman, beliau sebenar sudah lama memikirkan untuk meninggalkan Upko tetapi dia menghargai nasihat Adun Kuala Penyu supaya tidak berbuat demikian.
“Sekarang beliau (Limus) sudah tidak lagi berada dalam Upko, justeru saya memutuskan untuk balik semula ke dalam Umno yang saya anggotai sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Lokman, beliau sudah menghubungi Ketua Umno Bahagian Beaufort, Fadzlee Lee Abdullah untuk memaklumkan hasratnya itu yang akan disusuli tindakan susulan selanjutnya.
“Ketua bahagian itu mengalu-alukannya dan mahu saya melakukan apa yang patut di cawangan Umno Kikansa di Kuala Penyu yang pernah saya anggotai,” tegasnya.
Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kepimpinan Umno Bahagian Beaufort dan ahli-ahlinya yang telah banyak memainkan peranan untuk membantu kemenangan Adun Kuala Penyu dalam setiap pilihan raya umum negeri.
Lokman pernah menjadi ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kimanis (sebelum ditukarkan Beaufort) dan ahli jawatankuasa pergerakan pemuda bahagian tersebut beberapa penggal ketika parti itu mengembangkan sayapnya ke Sabah pada 1992.