27 C
Kota Kinabalu
Selasa, Februari 17, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Bekalan Barangan Asas Mencukupi Sempena Tahun Baharu Cina, Ramadan di Keningau

Fadzly (tengah) bersama pasukan penguat kuasa KPDN Cawangan Keningau meninjau dan memantau harga barangan di sebuah pasar raya di Keningau.


KENINGAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Keningau memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas sempena sambutan Tahun Baharu Cina berada dalam keadaan mencukupi dan terkawal di pasaran tempatan, selain persediaan awal menghadapi bulan Ramadan.


Ketua Cawangan KPDN Keningau, Fadzly bin Daupin berkata pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina melibatkan 15 jenis barangan kawalan yang menjadi keperluan utama sepanjang musim perayaan.


Menurut beliau, skim berkenaan dilaksanakan selama sembilan hari bermula 13 hingga 21 Februari 2026 bagi memastikan pengguna menikmati barangan keperluan pada harga berpatutan.


“Pemantauan dan pemeriksaan dilaksanakan secara berterusan oleh pegawai penguat kuasa bagi memastikan pematuhan terhadap penetapan harga maksimum serta mengelakkan sebarang bentuk manipulasi harga dan bekalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Dalam pada itu, beliau berkata persediaan menghadapi Ramadan turut diberi perhatian melalui pemeriksaan ke atas pemborong dan peruncit barangan keperluan asas.


“Hasil pemantauan mendapati bekalan barangan adalah stabil serta mampu memenuhi permintaan pasaran tempatan,” katanya.


Bagi tempoh 1 hingga 30 Januari 2026, sebanyak 2,468 pemeriksaan telah dijalankan melibatkan premis perniagaan di kawasan bandar dan luar bandar. Pemeriksaan itu merangkumi operasi khas seperti Ops Tiris, Ops Kesan 5.0 serta pemeriksaan harian berkaitan bekalan dan harga barangan kawalan bersubsidi dan keperluan asas lain.


Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 16 kes telah diambil tindakan di bawah akta yang dikuatkuasakan KPDN Cawangan Keningau. Nilai rampasan direkodkan sebanyak RM168.40, manakala kompaun yang dikeluarkan berjumlah RM4,100.


Selain itu, tujuh aduan telah diterima dan kesemuanya diselesaikan sepenuhnya.


KPDN Cawangan Keningau menegaskan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan akan terus diperkukuh bagi memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan peniaga serta melindungi kepentingan pengguna, khususnya melibatkan barangan kawalan dan bersubsidi.


Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000, Portal Aduan di http://eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, e-mel eaduan@kpdn.gov.my, aplikasi Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan di 03-8882 6088/6245 atau mengemukakan surat rasmi ke pejabat KPDN berdekatan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN