Bekalan air tergangggu, penduduk terpaksa guna air hujan

Oleh: Celestina U Buandi


Hj Ruslan (empat, kanan) bersama dengan Geoffrey Lousi (dua, kiri) dalam pertemuan di Pejabat Jabatan Air Beaufort, Beaufort kelmarin.

Beaufort, 22 Januari 2021: Gangguan bekalan air bersih yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan menyebabkan penduduknya terpaksa menggunakan air hujan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Hj. Ruslan Muharam berkata, kehidupan penduduk di kawasan itu menjadi bertambah sukar apabila musim kemarau.

Sehubungan itu beliau meminta kerajaan negeri menangani segera bekalan air bersih di kawasan Lumadan.

“Ekoran daripada gangguan bekalan air selalu terputus, penduduk kampung menggunakan air hujan sahaja, sekiranya di musim kemarau melanda, amat sukar untuk penduduk kampung meneruskan kehidupan.

Menurut Hj Ruslan lagi, sebanyak 40 kampung mengalami gangguan bekalan air dan masalah ini sudah berlarutan selama dua dekad, sejak sebelum beliau menjadi wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

Bagi mencari jalan mengatasi masalah yang dihadapi penduduk itu, Hj Ruslan telah mengadakan pertemuan dengan Jurutera Jabatan Air Beaufort, Geoffrey Lousi dan meminta agar permasalahan seperti gangguan bekalan air dapat diselesaikan.

Katanya, air keperluan asas kehidupan dan kini rakyat menggunakan air hujan sebagai sumber makanan dan minuman.

Beliau juga meminta cadangan dan perkembangan terkini daripada Jabatan Air Beaufort dalam mencari penyelesaian kepada masalah gangguan bejalan air

Hj Ruslan juga menyarankan kepada Kerajaan Negeri Sabah supaya mengadakan satu perbincangan dengan Labuan Water Supply bagi tujuan menyalurkan air di sepanjang Jalan Gadong-Bintuka dan Jalan Suasa-Bangkalalak, dalam kawasan Lumadan.

“Perbincangan dengan Labuan Water Supply ini perlu dilaksanakan sementara menunggu keputusan kerajaan terhadap cadangan pembinaan mini loji air diluluskan,” katanya.

Hj Ruslan berharap masalah air akan dapat ditangani dengan segera dan slogan “Lumadan Sejahtera” akan dapat dirasai oleh rakyat setempat.

Sebelum itu beliau melawat Kampung Suasa bagi menyampaikan sumbangan 1000 bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terputus hubungan dan bekalan makanan ekoran hujan yang berterusan sejak minggu lalu.