WATIKAH….Bashir menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan daripada Shahidan sambil diperhatikan Jalaluddin.
LABUAN Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan yang baharu bagi tempoh dua tahun bermula 1 Julai 2022 sehingga 30 Jun 2024.
Bashir 57, menggantikan Datuk Seri Amir Hussin yang tamat perkhidmatannya sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan pada 30 Jun lalu.
Pelantikan Bashir diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim pada sidang media khas yang diadakan di Menara Seri Wilayah Kementerian Wilayah Persekutuan Putrajaya, petang Khamis.
Hadir sama menyaksikan majlis pelantikan itu ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Bashir yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan merupakan Pengerusi Perbadanan Labuan yang ke lima selepas Datuk Suhaili Abdul Rahman, Datuk Yusof Mahal, Datuk Ahmad Phesal Talip dan Datuk Seri Amir Hussin.
Pelantikan beliau selaras dengan perenggan 5(1) (a) Akta Perbadanan Labuan 2001 .
Sementara itu, Shahidan dalam sidang medianya berkata, Datuk Bashir mempunyai pengalaman yang luas di Wilayah Persekutuan Labuan berdasarkan perkhidmatan dalam Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang dan Majlis Perbadanan Labuan.
“Saya percaya dengan pengalaman luas serta daya kepimpinan, beliau akan terus menerajui Perbadanan Labuan dalam menambah baikekosistem ekonomi Wilayah Persekutuan Labuan agar industri sedia ada terus berkembang dan kekal berdaya saing” katanya.



