28 C
Kota Kinabalu
Isnin, November 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Bantu rakyat berteraskan konsep “Malaysia Madani” dan “Sabah Maju Jaya”

Maria (kiri) menerima cenderakenangan daripada pihak penganjur

KOTA KINABALU: Selaras saranan serta dasar kerajaan, usaha-usaha membantu rakyat hendaklah dijalankan secara bersama, di antara agensi kerajaan dan komuniti berteraskan konsep “Malaysia Madani” dan “Sabah Maju Jaya”.

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Maria Chong berkata, pendekatan ini memerlukan kerjasama keluarga, ahli komuniti dan agensi bukan kerajaan bersama, agar setiap isu dapat diselesaikan secara bersepadu.

“Saya percaya, pelbagai usaha telah digembleng, agar setiap keluarga dan tempat-tempat kediaman, selamat untuk didiami dan terhindar daripada aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Saya mohon kepada mereka, yang terlibat dengan aktiviti salahguna dadah, agar terus segera mendapatkan rawatan dan pemulihan, di premis AADK atau badan-badan bukan kerajaan (NGO), seperti Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP).

“Rawatan dan pemulihan yang betul, dokongan dan sokongan keluarga serta masyarakat, akan menjadi benteng yang kukuh, untuk mencegah penagihan semula dan mencapai kepulihan yang abstinen,” katanya.

Maria berkata demikian Sempena Majlis Perasmian Program Kelompok Sokongan Kepulihan Keluarga “Melestarikan Kepulihan Keluarga Teguh Bersama” yang diadakan di Bilik Seminar, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sabah pada Isnin.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada AADK, di atas kejayaan menganjurkan program ini.

Katanya, program itu bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada penyalahgunaan dadah dan bahan substans terlarang, selain untuk membentuk, benteng daya ketahanan yang kukuh, bagi mencegah penagihan semula, dengan sokongan keluarga, di dalam Institusi Kemasyarakatan kita.

“Ini sekaligus dapat memperkukuhkan, proses kepulihan klien di dalam komuniti, agar mereka dapat mengambil langkah-langkah perlindungan diri dan keselamatan bersama keluarga mereka secara khususnya.

“Diharap agar ceramah dan motivasi, yang disampaikan sepanjang hari ini, dapat memberikan suntingan semangat kepada keluarga, disamping memberi kemahiran kepada mereka, bagi mengendalikan penagihan dadah di kalangan ahli keluarga,” katanya.

Maria menyambut baik, penganjuran Program Kelompok Sokongan Kepulihan Keluarga, yang secara tidak langsung dapat menyebarluaskan, perkhidmatan AADK agar masyarakat lebih memahami, dan mendapat manfaat, daripada pelaksanaan dasar dan program jabatan.

Katanya, ianya ialah satu wadah turun padang dan dekati hati rakyat, yang berfokus serta meninggalkan impak positif kepada masyarakat, khususnya golongan sasar atau tercicir yang memerlukannya.

“Sesungguhnya, dalam melahirkan keluarga bahagia yang bebas dari masalah penagihan dadah, institusi keluarga adalah asas utama, dalam pembentukan kendiri, nilai dan jati diri seseorang individu itu.

“Maka saya berharap agar setiap yang hadir sentiasa menitikberatkan keluarga masing-masing dengan mengambil berat antara satu dengan yang lain. Kepada keluarga dan komuniti, terus memberi sokongan dan dorongan kepada klien.

“Dan kepada klien pula, terus berusaha meneruskan kepulihan kerana ini bukan sahaja untuk manfaat dan kebaikan diri sendiri tetapi untuk keluarga tersayang juga,” jelas beliau.

Turut hadir, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah Elmariah Chung, Penolong Pengarah Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK Negeri Sabah, Albert Tian, Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) Para Penceramah Jemputan, Urusetia dan Ahli Jawatankuasa Pelaksana.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN