25 C
Kota Kinabalu
Selasa, Oktober 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

BANK RAKYAT SALUR HAMPIR RM2 JUTA MELALUI MINI KARNIVAL DI SABAH, LEBIH 4,300 PENERIMA RAIH MANFAAT

Salah seorang usahawan menerima cek Pembiayaan Mikro-i Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) disampaikan Ewon

KOTA BELUD: Bank Rakyat menyalurkan hampir RM2 juta menerusi pelbagai inisiatif Jangkauan Komuniti dan keusahawanan bagi memberi manfaat kepada lebih 4,300 penerima sempena penganjuran Mini Karnival Bank Rakyat di Kadamaian Square, di sini.

Program dua hari yang bermula semalam itu bertujuan menyantuni masyarakat setempat dan golongan usahawan melalui pelaksanaan program keusahawanan dan literasi kewangan selain memperkukuh hubungan Bank Rakyat dengan komuniti luar bandar.

Majlis penutupan karnival berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.

Antara sumbangan disampaikan termasuk inisiatif Bank Rakyat UNIpreneur berjumlah RM67,000 kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menyokong pembangunan usahawan mahasiswa serta RAKYATpreneur bernilai RM10,000 bagi memperkasa usahawan asnaf.

Turut disalurkan, sumbangan BaktiRAKYAT berjumlah RM30,000 bagi menaik taraf laluan pejalan kaki di Unit Rekod Perubatan Hospital Kota Belud serta inisiatif Kebun Nuri Nutrisi bernilai RM19,825 kepada Sekolah Kebangsaan Narinang bagi projek tanaman hidroponik.

Selain itu, sumbangan RM7,100 melalui inisiatif BR COMMUNI71 diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah sempena ulang tahun Bank Rakyat ke-71, memberi manfaat kepada 71 penerima warga emas dan ibu tunggal.

Bantuan asnaf berjumlah RM11,000 turut disampaikan kepada Masjid Kampung Siasai Dundau, manakala Sekolah Kebangsaan Kuala Abai menerima sumbangan pelajar asnaf sebanyak RM10,000.

Yayasan Bank Rakyat (YBR) pula menyalurkan sumbangan keseluruhan RM1.5 juta yang dijangka memberi manfaat kepada 3,503 pelajar, merangkumi Bantuan Awal Pengajian UMS (RM100,000), Bantuan Awal Pengajian Program Ehsan@KUSKOP (RM400,000), Tuisyen Rakyat Program Ehsan@KUSKOP (RM370,000) serta Bantuan Asrama Desa Program Ehsan@KUSKOP (RM659,000).

Pada majlis sama, lima usahawan menerima cek cura Pembiayaan Mikro-i Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) bernilai keseluruhan RM50,000.

Dalam ucapannya, Ewon menyifatkan Mini Karnival Bank Rakyat sebagai platform pemerkasaan ekonomi inklusif yang memastikan akses kepada inisiatif sosial dan bimbingan keusahawanan dapat dinikmati masyarakat luar bandar.

“Di bawah KUSKOP, matlamat kita adalah jelas iaitu menoktahkan kemiskinan melalui keusahawanan dan koperasi. Setiap program harus memberi impak bukan sahaja dari segi pendapatan tetapi juga ilmu pengetahuan dan kemahiran,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, karnival tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk reruai jualan MADANI, taklimat produk, pameran agensi KUSKOP, program keusahawanan Santai Namun Sampai, pertandingan mewarna dan reruai derma darah.

“Program ini dianjurkan dengan sokongan Yayasan Bank Rakyat serta agensi di bawah KUSKOP termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia, TEKUN Nasional, Institut Koperasi Malaysia, UDA Holdings dan SME Bank,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN