22.9 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 20, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Bajet Kerajaan Negeri 2024 terbaik: James


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib memuji Bajet Kerajaan Negeri 2024 yang bertemakan “Sabah Teguh, Rakyat Terbela” yang dibentangkan baru-baru ini.


“Syabas dan tahniah kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun di atas pembentangan Bajet 2024 tersebut.


“Sesungguhnya belanjawan tersebut melambangkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap kelestarian kesejahteraan rakyat sejajar dengan hala tuju KPMKR.


“Insha Allah peruntukan sebanyak RM148.82 juta bagi perbekalan dan RM21.04 juta bagi pembangunan akan berupaya meningkatkan lagi kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan bagi program-program kesejahteraan rakyat,” kata beliau.


James yang juga Adun Sugut berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan beliau sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Keenam Belas pada hari Rabu.


Dalam penggulunganya itu, beliau turut menjawab beberapa pertanyaan yang dibangkitkan oleh Ahl-Ahli Yang Berhormat dalam mesyuarat berkenaan.


“Untuk menjawab pertanyaan Ahli Yang Berhormat ADUN Senallang berkenaan perancangan di peringkat Negeri, Kementerian saya telah menubuhkan satu Jawatankuasa Penyelarasan Isu-Isu Hospital dan Klinik bagi membincangkan keperluan dan perkhidmatan kesihatan di Negeri Sabah seperti Klinik Kesihatan, Hospital, Pakar Perubatan dan lain-lain lagi.


“Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh saya sendiri dan dianggotai oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Pengarah Hospital Queen Elizabeth I, Pengarah Hospital Queen Elizabeth II serta Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak,” katanya.


Menurut beliau, Pengarah-Pengarah Hospital di daerah lain juga akan dijemput berdasarkan keperluan.


“Saya telah melawat Hospital dan Klinik Kesihatan serta tapak pembinaan Hospital atau Klinik Kesihatan di beberapa lokasi di Negeri Sabah seperti di Tawau, Paitan, Sandakan, Kota Marudu, Pitas, Papar, Beaufort, Penampang, Tuaran dan Keningau bagi melihat sendiri keadaan dan keperluan di tempat-tempat tersebut.


“Hasil dari siri lawatan ini beberapa tapak yang mempunyai isu tanah telah dapat diselesaikan.
“Kementerian ini juga telah mengemukakan isu kekurangan dapur di Hospital Queen Elizabeth I kepada Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.


Dalam isu lain, berhubung dengan perkhidmatan kardiologi di Negeri Sabah, James menjelaskan bahawa jumlah pakar kardiologi ialah seramai lapan orang dan berpusat di Hospital Queen Elizabeth II.


Tambahnya, perkhidmatan kepakaran kardiologi merangkumi; Perkhidmatan Kardiologi (Dewasa); Perkhidmatan Kardiologi Pediatrik (Kanak-kanak); Perkhidmatan Pembedahan Kardiotorasik; dan Perkhidmatan Anestesia Kardiotorasik dan Reperfusi.


“Terdapat lapan lagi pakar perubatan yang telah menyertai program latihan sub-kepakaran kardiologi dewasa dan seorang lagi Pakar Anestesiologi Kardiotorasik dan Reperfusi yang sedang menjalani program latihan sebagai sub-kepakaran,” katanya.


Ujarnya lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia bersetuju dengan cadangan dan perancangan untuk memperluaskan perkhidmatan kardiologi ke pantai timur Sabah dengan memulakan perkhidmatan kardiologi di Hospital Tawau dan Hospital Duchess of Kent, Sandakan melalui Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan 4.


Sementara itu, berhubung dengan cadangan Ahli Yang Berhormat ADUN dilantik dan ADUN Kukusan tentang pemberian bantuan persekolahan pakaian seragam, kasut sekolah dan alat tulis kepada sekolah rendah, KPMKR sedang dalam proses mengkaji semula program berkenaan dari segi keberkesanan dan impak kepada kumpulan sasar.


Merujuk kepada cadangan Ahli Yang Berhormat ADUN Dilantik, James berkata, Kementerian beliau melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) mempunyai sistem pengurusan bantuan kebajikan yang mengemaskini maklumat bantuan kebajikan secara automatik dan kita menyedari keperluan untuk melapor diri setiap 3 bulan ke Pejabat Kebajikan sedikit membebankan penerima bantuan terutama kepada warga emas dan OKU.


“Untuk makluman, prosedur melapor diri ke pejabat kebajikan daerah setiap 3 bulan sekali ini adalah satu langkah kawalan bagi mengelak berlakunya ketirisan atau terlebih bayar kepada penerima-penerima yang hilang kelayakan atau meninggal dunia dalam tempoh kelulusan bantuan iaitu 1 tahun dan prosedur ini diadakan selepas mengambil kira teguran Audit Negara pada tahun 2012.


“Walau bagaimanapun, bagi penerima yang tidak berupaya hadir melapor diri atas sebab faktor kesihatan boleh menghubungi pejabat kebajikan melalui telefon atau mewakilkan ahli keluarga untuk hadir ke pejabat bagi mengesahkan bahawa penerima masih hidup dan masih memerlukan bantuan,” katanya.


Untuk menjawab pertanyaan Ahli Yang Berhormat ADUN Bongawan, beliau berkata, pembinaan Klinik Kesihatan Membakut yang lebih komprehensif adalah keutamaan pihak Kementerian untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih menyeluruh kepada sekitar 21,900 orang penduduk di daerah Membakut.


“Buat masa ini, belum ada perancangan pembinaan hospital baharu di daerah Membakut dan pihak Kementerian adalah lebih tertumpu dalam memperkasakan perkhidmatan kepakaran di Hospital Beaufort.


“Hospital Beaufort yang terletak lebih kurang 18km daripada Pekan Membakut akan diutamakan terlebih dahulu, dengan perluasan kepakaran seperti Pembedahan Am, Obstetrik, Ginekologi, Radiologi, Pediatrik, Perubatan Am, Perubatan Kecemasan & Trauma, Anestesiologi & Rawatan Rapi dan lain-lain lagi.


“Ini dilihat lebih berimpak tinggi dan dapat menampung keperluan perkhidmatan kesihatan sekunder dan tertiary, bukan sahaja untuk penduduk di Beaufort dan Membakut, malah termasuk penduduk daripada Sipitang dan Kuala Penyu, tanpa perlu dirujuk ke pusat rujukan di Kota Kinabalu,” kata beliau.


Walaubagaimanapun, tambah beliau, daerah Membakut telah mendapat kelulusan pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 5 Membakut di bawah Rancangan Malaysia ke-12, Rolling Plan 1.


Katanya, Klinik Kesihatan Jenis 5 ini dilengkapi dengan kemudahan kesihatan yang lebih baik dan komprehensif berbanding klinik kesihatan sedia ada. Ini akan menggantikan bangunan kayu yang telah usang dan tidak selamat. Projek dijangka bermula pada tahun 2024 di bawah Jabatan Kerja Raya Sabah.


“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat ADUN Liawan, bagi memperkasa wanita luar bandar, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah melalui program pembangunan ibu tunggal dan wanita B40, telah melaksanakan 22 kursus di luar bandar daripada 26 kursus di seluruh Negeri.


“Seramai 543 wanita telah menyertai 22 kursus berkenaan. Peserta boleh mendaftar di sistem WISE ataupun diperakukan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs),” katanya.


Berhubung kenyataan Ahli Yang Berhormat ADUN Elopura, James menyatakan bahawa Kolej Kejururawatan Sandakan sebenarnya tidak ditutup, tetapi pengambilan pelatih telah ditangguhkan sementara semasa wabak COVID-19.


Pada masa ini, katanya, Kolej Kejururawatan Sandakan telah beroperasi semula untuk menerima pelatih-pelatih dalam bidang seperti Pos basik Perawatan Midwifery (seramai 35 orang), Pos basik Perawatan Ortopedi (26 orang), dan Diploma Kejururawatan (29 orang).


Sementara itu, merujuk kepada isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat ADUN Kapayan, beliau menjelaskan bahawa terdapat Program Saringan dan Intervensi Kemudaratan Alkohol di 32 Klinik Kesihatan di seluruh negeri Sabah yang mempunyai pakar perubatan keluarga.


“Jika rujukan diperlukan, klien akan dirujuk ke pakar perubatan keluarga untuk intervensi yang sewajarnya ataupun ke pakar psikiatri di hospital,” katanya.


Berkaitan rumah roboh milik Puan Yohmen Kunos di Kampung Koromoko yang dimaklumkan oleh Ahli Yang Berhormat ADUN Bandau, James berkata, Pejabat Kebajikan Kota Marudu telah sedia maklum tentang kes ini dan telah diarah membuat lawatan bagi mengambil data mangsa seterusnya memproses penyaluran bantuan.


“Untuk makluman, Kementerian saya melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah ada memberikan bantuan pemelegaan dalam bentuk alat/bahan binaan kepada mangsa yang terkesan akibat bencana, antaranya bencana banjir, kebakaran, angin ribut dan tanah runtuh yang mana telah merosakkan struktur rumah mangsa.


“Bantuan bernilai RM500 sehingga RM3,000 bergantung kepada peratus kerosakan rumah, boleh disalurkan dalam bentuk barangan ataupun dikreditkan ke akaun mangsa.


“Bantuan yang disalurkan adalah bersifat pemelegaan dan bukanlah bantuan pembinaan rumah baharu. Bantuan ini tidak disalurkan bagi kawasan setinggan,” jelas beliau.


Untuk menjawab pertanyaan Ahli Yang Berhormat ADUN Silam pula, beliau berkata, Unit Dialisis Klinik Kesihatan Tungku (KK Tungku) telah siap dibina dan diubahsuai pada Oktober 2023.


Menurutnya, Unit Dialisis KK Tungku dijangka akan mula beroperasi pada Januari 2024 dan akan dikendalikan oleh Hospital Lahad Datu.


“Pesakit dari sekitar Tungku akan mendapat rawatan dialisis tiga (3) kali seminggu di Unit Dialisis KK Tungku bermula Januari 2024,” kata beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN