29 C
Kota Kinabalu
Khamis, April 24, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Bahan Sokongan Bahasa Kadazandusun Dilancarkan

Philip bersama Dr. Hamidah, Hj. Harun, Dr. Linah Bagu, Syaiful, Rita Lasimbang, Dr. Rosie Johnny dan Ronalita Felix semasa lawatan ke Galeri Bahasa Kadazandusun.

TUARAN: Pelancaran bahan sokongan bahasa Kadazandusun dalam bentuk buku cerita sebanyak 21 buah buku cerita yang telah dihasilkan oleh siswa guru PISMP bahasa Kadazandusun IPGM Kampus Kent, Tuaran telah berlangsung di sini baru-baru ini.

Acara tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pengerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR) Datuk Philip Benedict Lasimbang, Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat Syaiful Rizal Abdul Ghani, dan Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus (IPGM) Kampus Kent, Tuaran Dr. Hamidah Binti Samsudin.

Penganjuran program ini adalah untuk melancarkan bahan sokongan bahasa Kadazandusun selain membolehkan siswa guru meningkatkan profesionalisme keguruan melalui pengendalian dalam pelaksanaan sesuatu program.

Dalam ucapan perasmiannya, Philip menyatakan bahawa pelancaran itu sedikit sebanyak membantu para pelajar dan guru bahasa Kadazandusun membina sebuah insfrastruktur pembelajaran dan pengajaran yang lebih teratur serta efektif agar penyampaian ilmu semakin mudah untuk diterima dalam khalayak ramai.

Beliau juga menyeru semua pihak untuk menyokong setiap usaha dalam memartabatkan Bahasa Kadazandusun ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya memohon jasa baik daripada semua pihak untuk sentiasa memberikan sokongan penuh dalam usaha kita memartabatkan bahasa Kadazandusun ke peringkat yang seterusnya agar ilmu yang disampaikan itu kekal hidup dan diwarisi dari generasi ke generasi.

Buku cerita yang telah dihasilkan oleh siswa guru PIMSP Bahasa Kadazandusun 2021/2026 IPGM Kampus Kent, Tuaran.

“Percayalah, setiap usaha dan komitmen yang telah diberikan, akan membuahkan hasil kepada generasi muda, masyarakat, negeri Sabah tercinta serta negara kita Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Dr. Hamidah menyatakan bahawa melalui penghasilan buku-buku tersebut, sudah pasti ianya dapat menambah koleksi bahan bacaan BKD, yang mana amat diperlukan oleh para guru BKD bagi memudahkan sesi pengajarannya di sekolah.
Bukan itu sahaja, tambah beliau, penghasilan buku ini juga secara tidak langsung dapat menambah pengalaman serta mengasah kemahiran bakal guru dalam menyediakan bahan sokongan yang lebih menarik, interaktif dan efektif.


“Melalui kerjasama, usaha dan alternatif yang dilaksanakan dan ditonjolkan sepanjang program ini, diharapkan dapat membawa kepada suatu perubahan dan kejayaan kepada matlamat program ini.


“Sesungguhnya, program-program sebegini amat mampu mengangkat martabat kaum Kadazandusun di Sabah agar tidak hilang dibawa arus pemodenan,” katanya.


Diharapkan agar usaha ini terus dilanjutkan bagi melakar kejayaan di persada dunia serta dapat membentuk bakal guru dan generasi muda yang berkualiti dan berwawasan dalam memartabatkan bahasa Kadazandusun sebagai Tier Satu di IPGM Kampus Kent, Tuaran.


Turut hadir, Timbalan Pengarah IPGM Kampus Kent, Tuaran Haji Harun bin Haji Sarail, Ketua Pegawai Eksekutif Kadazandusun Language Foundation (KLF) Tindarama Rita Lasimbang, Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun Dr. Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah, para ketua jabatan, ketua unit, para pensyarah dan anggota kumpuan pelaksana IPGM Kampus Kent.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN