25 C
Kota Kinabalu
Sabtu, September 30, 2023
ADVERTISEMENTspot_img

ARTHUR TOLAK CADANGAN PEMASANGAN TOL DI SABAH

Datuk Arthur Joseph Kurup

Oleh: Rizalmi Liman

KENINGAU: Mantan Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Arthur Joseph Kurup menolak cadangan mewujudkan sistem tol di Sabah.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, jalan-jalan Persekutuan di Sabah merupakan laluan utama yang menghubungkan antara daerah dan ini berbeza dengan Semenanjung yang mempunyai jalan raya alternatif.

“Di Semenanjung, pengguna boleh memilih lebuh raya bertol untuk lebih cepat sampai ke destinasi atau laluan alternatif yang tidak bertol yang mungkin lebih jauh jaraknya, tetapi di Sabah kita tidak ada laluan alternatif.

“Tidak wajar untuk kita memaksa pengguna jalan raya Sabah membayar tol tanpa sediakan laluan alternatif.

“Tambahan lagi, apabila pembinaan Pan Borneo Sabah yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Najib Razak, Kerajaan Persekutuan telah memberi jaminan bahawa Lebuh Raya Pan Borneo Sabah akan bebas tol,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Jonnybone Kurum, yang telah mencadangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Sabah untuk mewujudkan sistem tol di Sabah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, kerajaan juga ketika ini sedaya upaya mencari kaedah untuk menghapuskan tol atau mengurangkan tol bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

“Adalah tidak wajar timbul pula cadangan untuk mengenakan bayaran tol di Sabah yang selama ini rakyat menikmati jalan raya bebas dari tol,” jelasnya.

Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah menegaskan jalan raya dan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang bebas tol adalah merupakan satu keistimewaan untuk rakyat Sabah yang harus dikekalkan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Keistimewaan yang diberikan ini memainkan peranan penting dalam meningkat lagi ekonomi dan sosial rakyat Sabah.

“Selain itu memudahkan pergerakan antara daerah, ianya juga akan membantu melancarkan urusan logistik bagi pembangunan, memudahkan transaksi perniagaan yang pastinya akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi rakyat dan saya percaya rakyat mahu keistimewaan lebuh raya tanpa tol dikekalkan,” jelasnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN