Bot nelayan bersama dua wanita warga asing yang ditahan pasukan Zon Maritim Labuan, pada Khamis.
LABUAN:Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan menahan sebuah bot nelayan yang membawa dua wanita warga Filipina dengan dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Matritim Izwanhadi Haji Idros berkata, penahanan bot nelayan berkenaan dibuat hasil maklumat risikan yang diperolehi serta pemantauan yang berterusan dalam Op Sejahtera Op Tiris 3.0.
Beliau berkata sekitar jam 5.30 pagi pada Khamis agensi penguatkuasa Zon Maritim Labuan telah mengesan sebuah bot nelayan yang mencurigakan sebelum diarah merapat untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan membawa dua penumpang wanita warga Filipina dengan pengenalan diri yang diragui kesaihannya, manakala nahkoda bot berkenaan merupakan pemeggang IMM13”, katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963. Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
Izwanhadi berkata, bot berkenaan telah di bawa ke jeti Zon Maritim Labuan bersama nakhoda serta dua wanita berkenaan untuk tujuan siasatan.
Izwanhadi berkata, Zon Maritim komited untuk memperkukukan rondaan di perairan Labuan bagi mengekang aktiviti pemerdagangan orang, penyeludupan migran serta kemasukan pendatang tanpa izin (PTI).



