DITAHAN….kapal tangki yang disyaki membawa diesel tanpa lesen di bawa ke jeti Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.
LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim menahan sebuah kapal tangki (tanker) kerana disyaki membawa minyak diesel sebanyak 190,000 liter tanpa lesen yang dianggarkan bernilai lebih RM400,000.
Kapal berukuran 34.72 meter itu ditahan di kedudukan 45.7 batu nautika barat Laut Labuan kira-kira jam 2.10 petang pada Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Nudin Jusuh berkata, kapal tersebut ditahan semasa anggotanya sedang membuat rondaan Op Sejahtera, Op Naga Timur, Op kHas Kuda Laut dan Op Tiris di sekitar perairan kawasan Galian Minyak Semarang.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati 15 pelbagai kesalahan lain di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 selain Akta Petroleum 1984 dan Akta kastam 1967” katanya dalam satu sidang akhbar khas di pejabatnya pada Isnin.
Turut ditahan dalam pemeriksaan itu katanya, tujuh kru enam daripadanya warganegara Indonesia dan seorang warganegara India berumur dalam lingkungan 20 hingga 55 tahun.
Kapal tangki serta barangan disita dan di bawa ke jeti Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.