Para penduduk Kg. Maukab Ranau, merakam gambar kenangan bersama Datuk Jonathan (tengah) dan sebahagian staf Pejabat Parlimen Ranau.
RANAU: Aktiviti pelancongan merupakan sesuatu yang besar terutama di daerah Ranau dan ramai usahawan yang menceburi bidang ini memperoleh pendapatan lumayan.
Justeru, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin menyeru penduduk di sini supaya mengambil peluang keemasan ini bagi meningkatkan ekonomi keluarga dan masyarakat dengan menceburi industri itu.
“Perlu diingat bahawa Pelancongan merupakan industri yang begitu besar terutama di daerah Ranau. Saya menyeru kepada masyarakat di sini mengambil peluang keemasan ini.
“Banyak venue telah membuktikan pulangan daripada industri ini walaupun diusahakan secara persendirian tanpa bantuan kerajaan mampu memperoleh pendapatan yang begitu lumayan,” katanya.
Datuk Jonathan berkata demikian semasa merasmikan Kaamatan Kg. Maukab yang diadakan di Balairaya Kg. Maukab baru-baru ini.
“Kita bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kita peluang berkumpul dan meraihkan Kaamatan di kampung ini sekali lagi pada tahun ini. Tahniah dan terima kasih kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan program ini.
“Kita berharap agar sambutan perayaan Kaamatan akan terus dapat dirayakan, khususnya di negeri Sabah dan di Ranau pada masa akan datang, dan kita menyeru kepada penganjur agar terus menganjurkan program seumpama ini di masa depan.
“Kaamatan yang disambut oleh kaum KDM setiap bulan Mei, walaupun pada hari ini tidak lagi semua masyarakat mengerjakan penanaman padi. Tetapi simboliknya ialah kita mencari rezeki untuk keluarga,” katanya.
Apa yang penting, katanya, masyarakat tempatan terus memelihara tradisi, budaya serta semangat kerjasama dan kekeluargaan yang terkandung dalam perayaan Kaamatan agar dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen, Benedict Gunda, para pegawai dan kakitangan Pejabat Parlimen Ranau, pemimpin dan para penduduk kampung Maukab.



