Insp Murugan mengedarkan risalah kepada orang awam dalam aktiviti berkenaan
RANAU: Dalam usaha Pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) membenteras jenayah ‘scam’ di daerah ini, satu aktiviti Pencegahan Jenayah Komersil IPD Ranau telah diadakan di bank-bank sekitar pekan Ranau pada hari Isnin.
Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Bin Lomudin berkata, aktiviti ini telah diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Ranau, Insp Murugan a/l Doraiya bersama Sjn Klimen @ Azmie Samitah.
“Edaran risalah Pencegahan Jenayah Komersil telah diadakan di Maybank, BSN dan CIMB Bank bagi mendekati pelanggan dengan lebih dekat dan menyampaikan panduan pencegahan jenayah.
“Fokus kita bagi memberi kesedaran awam terutamanya berkaitan Jenayah Komersil seperti penipuan belian online, pinjaman tidak wujud, ‘Macau Scam’, ‘Love Scam’ dan pelaburan saham.
“Selain itu, aktiviti ini adalah bagi menerangkan secara jelas berkaitan aplikasi ‘Semak Mule’, ‘Whatsapp CCID Infoline’, Talian CCID Scam Response Center dan Facebook JSJK Bukit Aman,” kata beliau.
Menurut Simiun, masyarakat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau ditalian 088762222 untuk mendapatkan sebarang bantuan, nasihat dan penyaluran maklumat berkaitan jenayah ini.
Sementara itu, sebanyak 22 kes ‘Macau Scam’ membabitkan penduduk Ranau mencatatkan kerugian kira-kira RM1.9 juta sehingga awal tahun ini.
Insp Murugan berkata, kebanyakan yang terlibat adalah kes pelbagai penipuan dalam talian seperti Pinjaman Tidak Wujud, Penipuan Pelaburan dan pelbagai lagi.
“Jadi jangan mudah terpedaya dengan pujuk rayu yang menawarkan pulangan yang lumayan dan dalam perjalanan yang pantas, siasat dahulu jika ditawarkan sesuatu,” katanya.
Murugan berkata demikian ketika menyampaikan taklimat Macau Scam pada program Sembang Santai anjuran Jabatan Penerangan Daerah (JaPen) Ranau yang diadakan di sini baru-baru ini.