ADVERTISEMENTspot_img

Akta Antigangguan Seksual 2022 digubal

Flovia ( duduk tengah) merakam gambar bersama sebahagian daripada 500 pengunjung yang hadir ke Program Toleransi Sifar Keganasan bersempena dengan Program Kembara KASIH Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2025 di Negeri Sabah yang diadakan di sini, pada Sabtu

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menggubal Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840], sebagai suatu perundangan sivil khusus untuk menangani kesalahan gangguan seksual.

Menteri Pembnagunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, selaras dengan penguatkuasaan Akta 840 secara berperingkat mulai 28 Mac 2023, KPWKM telah membangunkan Garis Panduan Pelaksanaan Program Advokasi Antigangguan Seksual yang juga dikuatkuasakan pada tarikh yang sama.

“Untuk makluman semua, Akta 840 telah dikuatkuasakan sepenuhnya pada 8 Mac 2024 yang mana Tribunal bagi Antigangguan Seksual juga mula beroperasi pada tarikh tersebut.

“Tribunal bagi Antigangguan Seksual atau turut dikenali sebagai TAGS merupakan satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum untuk mangsa mengambil tindakan terhadap pelaku bagi mendapatkan hak tebus rugi atas kehilangan atau apa-apa kerosakan yang ditanggung oleh mangsa akibat daripada gangguan seksual yang dialami,” katanya.

Bagi tahun 2024, katanya, sebanyak 28 aduan gangguan seksual telah difailkan di TAGS manakala 11 kes dilaporkan sehingga 29 April 2025.

Tambahnya, sehingga kini, 30 aduan telah selesai didengar dan diberikan keputusannya.

James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian Program Toleransi Sifar Keganasan bersempena dengan Program Kembara KASIH Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2025 di Negeri Sabah yang diadakan di sini pada hari Sabtu.

Beliau diwakili oleh Pembantu Menteri KPMKR, Datuk Flovia Ng.

Beliau mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih khasnya kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan semua Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri Sabah serta Kerajaan Persekutuan atas penganjuran program tersebut.

Program Kembara KASIH di Sabah bermula 16 Mei 2025 di Astaka Padang Tuaran yang telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.

Menjelajah ke enam buah daerah di negeri Sabah, Papar merupakan daerah kedua yang dilawati selepas Tuaran sebelum diteruskan lagi ke Penampang, Lahad Datu, Kunak dan akan berakhir di Tawau pada 24 Mei 2025.

Program Kembara KASIH ini merupakan manifestasi KPWKM dalam mendekati masyarakat tempatan dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh KPWKM dan agensi selain menyebar luas dan mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif-inisiatif KPWKM yang diperkenalkan demi manfaat kepada rakyat.

Selain itu program ini juga mendukung aspirasi Malaysia MADANI dalam mengemudi negara ke arah mencapai sasaran sebagai sebuah negara yang membangun dan mapan.

Sementara itu, James memberitahu bahawa gangguan seksual ialah perlakuan yang bersifat subjektif, boleh berlaku di mana-mana dan kepada sesiapa sahaja tidak kira jantina, bangsa, agama dan faktor-faktor lain.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk semua golongan masyarakat sedar bahawa gangguan seksual merupakan suatu perlakuan bersifat seksual yang mendatangkan perasaan tidak selesa, takut atau terancam kepada mangsa dengan tingkah laku pelaku.

“Gangguan seksual ialah perlakuan yang bersifat subjektif, boleh berlaku di mana-mana dan kepada sesiapa sahaja tidak kira jantina, bangsa, agama dan faktor-faktor lain,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk semua golongan masyarakat sedar bahawa gangguan seksual merupakan suatu perlakuan bersifat seksual yang mendatangkan perasaan tidak selesa, takut atau terancam kepada mangsa dengan tingkah laku pelaku.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan 477 kes gangguan seksual pada tahun 2022 dan pada tahun 2023, kes meningkat kepada 522 kes dan terus meningkat kepada 788 kes pada tahun 2024.

“Bagi tahun 2025, sehingga bulan Mac 2025 sebanyak 214 kes telah dilaporkan dan lima kes yang dilaporkan adalah dari Negeri Sabah.

“Peningkatan laporan/kes ini menunjukkan masyarakat mulai sedar akan peri pentingnya keselamatan diri dan melalui program-program advokasi yang dianjurkan oleh agensi di bawah KPWKM, iaitu Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), telah menyebar luas kefahaman mengenai Akta 840 dan bagaimana masyarakat perlu ambil cakna,” katanya.

Justeru, beliau meletakkan harapan tinggi agar semua pihak dapat membantu KPWKM menyebar luas advokasi berkaitan dengan gangguan seksual yang bertujuan untuk mencegah dan meningkatkan kesedaran berkaitan dengan gangguan seksual dalam kalangan masyarakat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN