Madius
KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2025 – Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, mendesak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) agar bertindak lebih proaktif dalam mempercepatkan pembangunan infrastruktur asas di taman-taman perindustrian di Sabah.
Ketika membahaskan Usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata bahawa kekangan infrastruktur asas menjadi penghalang utama kepada usaha Sabah menarik pelabur domestik dan asing, meskipun negeri itu mempunyai potensi besar dalam sektor pembuatan dan pemprosesan.
“Selama ini, pihak pengurusan seperti Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu terpaksa meminjam dana daripada Kerajaan Persekutuan, dan proses kelulusan pula mengambil masa terlalu lama, walaupun hanya melibatkan pinjaman,” katanya.
Tambah beliau, kelewatan tersebut menyukarkan pembangunan Zon Perdagangan Bebas (Free Zone) di POIC Lahad Datu, yang telah diluluskan secara prinsip oleh Kementerian Kewangan sejak Mac 2023, tetapi masih belum dapat dilaksanakan kerana tidak memenuhi keperluan infrastruktur seperti jalan raya dan pagar keselamatan.
Madius menegaskan bahawa Sabah juga telah memohon kepada Kementerian Pengangkutan agar Lapangan Terbang Lahad Datu dinaik taraf, kerana infrastruktur penerbangan sedia ada tidak menepati piawaian antarabangsa yang diperlukan untuk menyokong perkembangan perdagangan dan pelaburan kawasan perindustrian itu.
Beliau berkata, jika kemudahan asas di taman-taman perindustrian seperti Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) dan POIC Lahad Datu dapat dipertingkatkan dengan segera, ia mampu melonjakkan daya saing Sabah sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia Timur.
“Sekiranya kemajuan infrastruktur asas ini tidak dipercepatkan, matlamat untuk menjadikan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2035 seperti digariskan dalam RMK-13, mungkin tidak dapat dicapai dengan seimbang antara wilayah,” ujar bekas Menteri Perdagangan dan Peridustrian Sabah itu lagi.



