25 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mac 10, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Ahli Parlimen Tuaran Bangkitkan Isu Kelewatan Projek Jalan Tuaran di Dewan Rakyat

Madius

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, membangkitkan isu kelewatan pelaksanaan projek menaik taraf jalan dari Bulatan Berungis ke Pekan Tuaran ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu mempersoalkan status semasa projek tersebut yang sebelum ini dimaklumkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) akan dimulakan kerja-kerja fizikalnya pada suku kedua tahun 2025.

“Sehingga kini iaitu selepas suku tahun kedua, masih belum kelihatan sebarang kemajuan fizikal yang ketara di kawasan ini,” katanya di sini pada 06 Ogos lalu.

KKR dalam satu jawapan bertulis memaklumkan projek menaik taraf Jalan Berungis (Laluan 503) dari Bulatan Berungis ke Persimpangan Jalan Marabahai Spur telah pun dimulakan secara rasmi pada 12 Mac 2024 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 31 Mac 2028.

“Projek ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sepanjang 2.7 kilometer kepada empat lorong dua hala dengan spesifikasi U5, pembinaan jejambat U-turn, serta jambatan baharu bagi menggantikan struktur pembetung (culvert) sedia ada.

“Sehingga 30 Jun 2025, kemajuan fizikal projek baru mencapai 2.06%, iaitu sedikit di bawah sasaran 3.18%.

“Perbezaan ini disebabkan oleh kelewatan dalam proses pengambilan tanah, yang turut menjejaskan pelaksanaan kerja awalan seperti pengalihan utiliti air dan elektrik,” ujar KKR.

Kementerian itu juga menjelaskan, pelan pengambilan tanah telah dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah pada 30 September 2024.

“Deraf warta pengisytiharan juga telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah pada 9 Oktober 2024 dan kini masih menunggu proses pewartaan rasmi.

“Bagi mengatasi kelewatan ini, pihak kementerian komited untuk terus memantau rapat perkembangan proses pengambilan tanah melalui kerjasama berterusan dengan agensi berkaitan di peringkat negeri,” tambah kementerian itu lagi.

Sementara itu, Madius dalam satu kenyataan hari ini menggesa semua pihak yang terlibat mempercepatkan proses-proses kerja yang tertangguh agar naik taraf jalan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Menurutnya, penduduk Tuaran sudah lama menanti kemudahan jalan yang lebih baik.

“Saya harap semua agensi yang terlibat dapat bertindak segera demi kepentingan penduduk setempat,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN