ADVERTISEMENTspot_img

Ah Choi: Hidup saling toleransi walau berbeza anutan agama, kunci keharmonian.

SUMBANGAN IKHLAS….Kong Soon Choi menyampaikan sumbangan berupa Bubur Lambuk dan Buah Kurma kepada Pengerusi Masjid Al-Khautar Kg.Lohan dan Rumah Anak Yatim Dan Asnaf Kg.Silad.

OLEH:WARTAWAN BDB

RANAU: “Hidup saling bertoleransi walau berbeza anutan agama merupakan kunci utama kearah mengekalkan keharmonian dalam masyarakat sekaligus menjadikan komuniti kehidupan sentiasa aman damai”, demikian ditegaskan oleh Kong Soon Choi, Timbalan Ketua Wiramuda Star Sabah pada Ahad.

Katanya, amalan mulia sesama manusia tidak mengira fahaman agama lebih-lebih lagi berkongsi sedikit sumbangan ikhlas kepada golongan memerlukan wajar diterapkan dalam sesebuah komuniti masyarakat tidak kira yang tinggal di kawasan perkampungan mahupun bandar.

“Saya gembira kerana memiliki ramai kenalan dari pelbagi anutan agama dan suku bangsa. Kami dapat bermesra dan berkomunikasi secara saling menghormati diantara satu dengan yang lain.

Justeru itu, mereka turut terbuka menerima sedikit sumbangan ikhlas yang diberikan khasnya ketika rakan-rakan beragama Islam menjalani ibadah puasa”, jelas Kong ketika menyampaikan sumbangan buah kurma dan bubur lambuk kepada AJK Masjid Al-Khautar Kg Lohan dan Rumah Anak-Anak Yatim Dan Asnaf Kg.Silad dekat sini.

Sumbangan berkenaan telah diterima oleh Ustaz Jumil Ruji, AJK Bahagian Fardhu Kifayah Masjid Al-Khautar Kg.Lohan dan Ustaz Hainin Abdullah selaku Pengurus Rumah Anak Yatim Dan Asnaf Kg.Silad, Ranau. Turut bersama dalam majlis ringkas itu adalah Rusining RusdI, Pengerusi Masjid Al-Khauthar Kg.Lohan.

Segala bahan mentah untuk dimasak bubur lambuk sumbangan Kong terdahulu telah dimasak oleh AJK Masjid Al-Khautar Kg.Lohan sebelum diagih-agihkan kepada jemaah dan anak-anak yatim berkenaan.

Sementara itu, Ustaz Jumil Ruji, AJK Bahagian Fardhu Kifayah Masjid Al-Khautar Kg.Lohan dan Ustaz Hainin Abdullah selaku Pengurus Rumah Anak Yatim Dan Asnaf Kg.Silad, Ranau ketika ditemui menyatakan pujian atas keikhlasan Kong memberikan sumbangan tersebut. Mereka berterima kasih kepada Kong atas kemurahan hati memberikan sumbangan dikedua-dua institusi berkenaan.

“Mudah-mudahan Allah akan membalas jasa baik dan melimpahkan rezeki kepada insan murah hati ini. Kami berterima kasih atas sumbangan yang diberikan”, jelas kedua-dua mereka.

Sebanyak 100 bungkusan bubur lambuk dan 100 kotak buah kurma telah disumbangkan oleh Kong di kedua-dua lokasi tersebut. Sebelum ini, pada Mac lepas, Kong pernah menyantuni anak-anak yatim dan golongan asnaf di Rumah Anak Yatim Dan Asnaf Kg.Silad dan menyampaikan bantuan berupa barangan makanan dan kewangan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN