25 C
Kota Kinabalu
Selasa, Oktober 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Agensi KUSKOP ambil langkah kurangkan birokrasi salur pembiayaan: Ewon

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, agensi-agensi kementeriannya telah mengambil pelbagai langkah bagi memudah cara proses permohonan dan penyaluran pembiayaan.

Beliau berkata, ini selari dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) untuk mengurangkan karenah birokrasi.

“Antaranya TEKUN Nasional telah melaksanakan penambahbaikan prosedur permohonan dengan mengurangkan keperluan dokumentasi daripada 17 dokumen kepada 4 dokumen asas sahaja.

“Di samping itu, tempoh kelulusan permohonan telah dipendekkan daripada 21 kepada 7 hari bekerja.

“Begitu juga dengan AIM yang telah mempermudahkan proses permohonan dengan hanya menggunakan salinan
MyKad tanpa memerlukan pendaftaran oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan permohonan yang lengkap akan
diuruskan dalam tempoh 16 hari bekerja.

“SME Corp juga menyediakan ekosistem digital melalui Sistem Bersepadu Penarafan & Insentif PMKS (MSME Rating & Incentive Integrated System) atau Sistem MyBPI, untuk memudahkan usahawan belia memohon dan membuat tuntutan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE)
secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dato Sri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), pada sesi pertanyaan lisan, persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Saifuddin bertanya apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian bagi memperbaiki perkhidmatan permohonan geran dan pinjaman perniagaan untuk usahawan Bumiputera yang baru menceburi bidang
keusahawanan.

Ewon berkata, SME Bank telah memperkenalkan proses permohonan secara dalam talian termasuk kemudahan saluran komunikasi bagi tujuan khidmat nasihat dan bimbingan sepanjang proses permohonan.

“PERNAS membangunkan Sistem Pembiayaan E2E S3P untuk pengurusan pembiayaan secara digital yang cekap dan
telus.

“Bank Rakyat menyediakan platform dalam talian Quick Response to Entrepreneurs (QR2E) bagi memudahkan usahawan baharu memohon program pembiayaan perniagaan dan produk-produk perbankan lain yang disediakan,” katanya.

Ewon berkata, kementeriannya komited untuk menyokong pelbagai golongan usahawan termasuk usahawan Bumiputera melalui bantuan dan inisiatif keusahawanan terutamanya pembiayaan kepada usahawan baharu yang memulakan perniagaan.

“Sehingga 31 Ogos 2025, seramai 64,179 usahawan Bumiputera baharu menerima pembiayaan berjumlah RM743.86 juta daripada agensi-agensi KUSKOP.

“Antara agensi itu ialah TEKUN Nasional, SME Corp, AIM, SME Bank, Pernas dan Bank Rakyat,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN