Abidin memotong riben perasmian Gerai Jualan Bombon Marakau
RANAU: Acara Fun Run Larian ke Bukit Dompurungon 2024 berpotensi untuk menjadi satu lagi tarikan pelancong ke Daerah Ranau, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Justeru, beliau menyarankan supaya acara seperti ini dianjurkan setiap tahun dan dalam skala yang lebih besar dan tawaran hadiah yang lebih lumayan bagi menjadikan acara itu lebih menarik.
Ini, katanya, boleh dilakukan supaya lebih ramai peserta yang akan mengambil bahagian, bukan sahaja sekitar Ranau tetapi juga dari luar daerah, malahan negeri dan negara jiran.
“Syabas dan tahniah kepada AJK Penganjur Fun Run Larian ke Bukit Dompurungon 2024 kerana inisiatif untuk mengadakan acara ini secara konsisten.
“Semestinya acara ini akan menjadi satu lagi tarikan pelancong selain daripada Bombon Marakau yang sedia ada,” katanya.
Abidin mengucapkan syabas dan tahniah kepada belia Kg. Marakau, khususnya Wiramuda Parti Star Paginatan atas anjuran acara tersebut, dan kerana terus terlibat dengan aktiviti kemasyarakan
“Belia adalah pemimpun masa depan, jadi perlu ada acara seperti ini untuk mengasa bakat kepimpinan di kalangan belia dalam menjamin kualiti kepimpinan di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Fun Run End of Year 2024 dan Majlis Perasmian Gerai Jualan Bombon Marakau yang diadakan di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Abidin yang juga Adun Paginatan berkata, seperti yang ditahui umum, Bombon Marakau memang luar biasa kerana ia dekat dengan Pekan Ranau.
“Berkat kegigihan penduduk Kg. Marakau selama lebih 20 tahun akhirnya Bombon Marakau sudah menjadi destinasi pelacongan yang paling popular di Daerah Ranau selain drp Taman Kinabalu dan Poring Hot Spring.
“Ini adalah anugerah daripada Tuhan di mana ikan-ikan terus kembali ke Bombon walaupun dilanda banjir besar di kawasan Marakau pada tahun yang lalu,” katanya.
“Tahniah kepada Bombon Marakau kerana sentiasa memberi sumbangan kepada keperluan kampung. Berkat pendapatan yang begitu menggalakkan, pihak Pengurusan Bombon tidak pernah mengabaikan keperluan kampung,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Bombon Marakau, Hamdan Jaini berkata, acara Fun Run anjuran Wiramuda Star yangg diketuai oleh Julian Jamitah dengan kerjasama Bombon Marakau merupakan kali yang ke-4 ia diadakan.
“Bombon Marakau sudah berusia 20 tahun dan pada masa ini Bombon Marakau menerima kunjungan pelancong tidak kurang dari 100 orang setiap hari,” katanya.
Beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada Datuk Abidin Madingkir kerana memberi peruntukan untuk membina gerai jualan Bombon di kawasan itu.
Tambah beliau, Bombon Marakau sentiasa mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan dan Bombon Marakau akui perlu ada kerjasama yang erat di antara Pengurusan Bombon dan Pejabat Perikanan Ranau.
“Kedudukan Bombon Marakau pada masa ini berada di dalam Top 3 pusat tumpuan pelancong di Ranau.
“Harapan kita adalah untuk sentiasa berusaha menjadikan Bombon Marakau sebagai pusat pelancongan terbaik di Daerah Ranau,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, KAN Sawalin Zakaria, Ketua Wiramuda Bahagian, Hillary Salmoen, para pemimpin masyarakat setempat dan lain-lain.



