30 C
Kota Kinabalu
Sabtu, November 1, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Abidin yakin pertahan kerusi Paginatan di bawah tiket GRS

Abidin (tengah) bersama para Pemaju Mukim dan Pengerusi JKKK bergambar kenangan di majlis itu

RANAU: Penyandang kerusi DUN N38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir yakin akan menjadi calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kawasan itu ekoran beberapa pertemuan dengan pimpinan tertinggi parti itu.

“Beberapa pertemuan dengan YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor dan juga Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun memberi kita keyakinan bahawa kita akan menjadi calon GRS di DUN N38 Paginatan dan itu yang pasti.

“Justeru, dengan pernyataan demikian, diharapkan agar tidak ada lagi keraguan dalam fikiran para penyokong samada saya menjadi calon atau tidak.

“Kita akan teruskan usaha kita dan menguatkan lagi momentum kita untuk menjangkau lebih banyak pengundi-pengundi di seluruh pelusuk DUN Paginatan untuk terus menyokong GRS,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Mesra Pengerusi JKKK bersama Datuk Abidin Madingkir yang diadakan di Markas DAM Lohan Ulu baru-baru ini.

Di majlis itu, beliau sempat menjelaskan sebab mengapa beliau mengambil keputusan untuk setia bersama GRS walaupun parti lamanya meninggalkan gabungan itu pada minit terakhir.

“GRS diujudkan untuk kebaikan rakyat Sabah dan diujudkan oleh gabungan parti tempatan. Kita sudah sama-sama bina rumah kenapa harus kita robohkan.

“Kita sudah berusaha selama 5 tahun bertungkus lumus menaikkan nama parti sebagai salah satu komponen parti dalam GRS. Apabila Presiden mengambil keputusan untuk meroboh dan meniadakan usaha kita sudah tentu kita tidak bersetuju dengan tindakan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, kesungguhan GRS dalam usaha mensejahterakan rakyat melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) membuahkan hasil apabila banyak program rakyat terlaksana seperti Perumahan SMJ, bantuan RM300 sebulan kepada lebih 100,000 penerima yang berdaftar dengan E-kasih, bantuan persekolahan dan banyak lagi.

Selain itu, katanya, melalui kestabilan politik negeri Sabah dalam tempoh 5 tahun Kerajaan GRS Plus memerintah, telah berjaya meningkatkan hasil negeri, meningkatkan jumlah pelaburan asing, dan sudah tentunya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah.

Sebagai respon beberapa isu yang ditimbulkan oleh Pemaju Mukim Suminimpod berhubung masalah jalanraya ke Kg Kitaie dan Kg Longut, katanya, pihaknya telah kemukakan hal itu kepada Jabatan Kerja Raya Sabah untuk penyelenggaraan.

Datuk Abidin memberi jaminan bahawa Program Penyukatan PANTAS akan dilaksanakan di Mukim Suminimpod seterusnya, apabila Kerajaan GRS diberi mandat untuk memerintah Sabah selepas PRN17 nanti.

Sementara itu, Pengarah Pilihanraya GRS N38 Paginatan, Hishamudin Harun mengalu-alukan kehadiran lebih 80 peratus Pengerusi JKKK DUN Paginatan (seramai 94 orang) di majlis itu.

“Kita juga mengalu-alukan kehadiran Datuk Abidin Madingkir, bakal calon GRS Paginatan pada PRN17 nanti.

Terima kasih atas kebersamaan dalam Majlis Ramah Mesra bersama Pengerusi JKKK DUN Paginatan.

“Kita merakamkan setinggi tinggi penghargaan kepada Datuk Abidin kerana terlalu banyak inisiatif pembangunan yang beliau laksanakan sejak 5 tahun sebagai Wakil Rakyat GRS di DUN Paginatan.

“Gerak kerja beliau, ‘diam-diam ada hasil’. Walaupun tidak mewar-warkan setiap pencapaian beliau tetapi rakyat melihat apa Datuk sudah laksanakan di setiap pelusuk kawasan DUN Paginatan,” katanya.

Hishamudin turut bersyukur kerana tunggakan elaun sebahagian Pengerusi JKKK selama 7 bulan telahpun diselesaikan hasil usaha Datuk Abidin Madingkir.

Dalam pada itu, katanya, cadangan pengujudan empat buah lagi kampung baru di DUN Paginatan kini dalam proses.

“Kita mengharapkan supaya kampung-kampung ini dapat pengiktirafan dan mempunyai Pengerusi JKKK sendiri selepas PRN jika sekiranya kita memberi mandat baru kepada GRS untuk menjadi kerajaan Sabah.

“Para Pengerusi JKKK yang sedia ada juga akan diteruskan jika sekiranya Kerajaan GRS terus menjadi kerajaan selepas PRN17,” katanya.

Kesemua Pemaju Mukim DUN N38 Paginatan telah diberi slot untuk berucap di mana rata-rata menzahirkan sokongan tidak berbelah bagi kepada Datuk Abidin Madingkir.

Keseluruhannya bersetuju bahawa trek rekod Datuk Abidin adalah yang terbaik sebagai wakil rakyat yang pernah ada di DUN Paginatan dan mereka akan berusaha lebih kuat lagi di mukim masing-masing demi kejayaan calon GRS di DUN Paginatan.

Kesemua Pemaju Mukim iaitu Sainin Hamid (Pegawai Penyelia Masyarakat), Duhimin Gilong (Lohan/Bongkud), Sibin Keidau (Suminimpod), Lasius Golipoi (Tanah Rata), Hillary Salmoen (Nalapak), Yairman Anjingin (Paginatan), dan Josini Maston (Paus) berikrar untuk bekerja lebih kuat lagi bersama sama Pengerusi JKKK di Mukim masing-masing untuk memenangkan Datuk Abidin Madingkir sebagai calon GRS DUN Paginatan.

Dalam majlis yang turut dihadiri Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling itu, Abidin mengingatkan para Pengerusi JKKK bahawa mereka adalah adalah mata dan telinga kerajaan.

Tanggung jawab semua Pengerusi Pengerusi JKKK sebagai mata dan telinga kerajaan adalah memperbetulkan maklumat yang tidak tepat yang digembar-gemburkan oleh pihak lawan.

Beliau menyeru kepada semua Pengerusi JKKK untuk sentiasa mendapat info yang tepat untuk disebarkan kepada rakyat di kawasan masing-masing terutama mengenai pencapaian Kerajaan GRS sejak 5 tahun sebagai kerajaan Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN