Abidin (tengah) dan lain-lain semasa program santai-santai bersama dengan penduduk kampung Kg Niasan
RANAU: Penyandang kerusi DUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir menyeru rakyat di sini untuk memberi mandat baharu kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri akan datang bagi mengekalkan kestabilan politik di Negeri Sabah.
“Kestabilan politik amat penting untuk mengekalkan momentum pembangunan yang telah kita nikmati sejak lima tahun lalu melalui pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Sehubungan dengan itu, saya menggesa supaya kita terus menyokong pelan pembangunan SMJ 2.0 kerana ia merupakan pelan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Sebagai penyandang wakil rakyat DUN Paginatan, saya amat berbangga kerana penduduk Paginatan sentiasa berada di belakang kita dan kita telah mencapai banyak kejayaan dengan bekerjasama dengan penduduk, kakitangan kerajaan, kakitangan UPPM, dan juga Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan,” katanya.
Tambah beliau, melalui kestabilan politik negeri Sabah dalam tempoh lima tahun Kerajaan GRS Plus memerintah, telah berjaya meningkatkan hasil negeri, meningkatkan jumlah pelaburan asing, dan ini sudah tentunya membuka lebih bnyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah.
Menurutnya, antara lain pencapaian paling ketara yang telah dimanfaatkan oleh penduduk selama GRS memerintah ialah Pengeluaran lebih 1,000 geran tanah melalui Program Pantas yang melibatkan pengukuran lebih 6,000 ekar tanah dan juga pemindahan Kg Ponulangon, Walou dan Kg Kanawahon daripada hutan simpan.
Selain itu, katanya, telah juga diadakan pelancaran Pekan Baru Paginatan yang baru-baru ini disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Sabah sebagai bukti komitmen kerajaan untuk membangunkan kawasan kampung dan peningkatan kuota untuk jawatan Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK di beberapa kampung yang telah telah ditubuhkan.
“Sebagai kesinambungan Program Pantas, kita telah mengadakan perbincangan dengan PPHT Ranau bersama penduduk Kg Tinanom, Kg Kodop Baru dan Kg Kigiwit untuk pelaksanaan Program Pantas.
“Saya amat komited untuk meneruskan Program Pantas ini kerana kita begitu menyedari bahawa pemberian geran tanah sangat bermakna dan berharga bagi rakyat di sini.
“Oleh itu, sokongan padu daripada semua penduduk Paginatan sangat diperlukan untuk meneruskan kesinambungan pembangunan yang telah dirancang,” katanya.
Abidin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paginatan, berkata demikian ketika program santai-santai bersama dengan penduduk kampung Kg Niasan dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir dalam program itu, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, Ketua Pemuda GRS Paginatan, Hillary Salmoen, para pemimpin setempat dan lain-lain.



