Abidin bersama beberapa orang penyokong di Kg Luanti Baru pada pagi Isnin
RANAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi N38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir menyeru kepada penduduk di sini supaya memberi mandat baru kepada Kerajaan GRS demi mengekalkan kestabilan politik di Negeri Sabah.
“Kestabilan politik amat penting untuk mengekalkan momentum pembangunan yang sudah kita nikmati sejak lima tahun yang lalu,” kata mantan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu.
Menurut beliau, kestabilan politik akan memberi laluan kepada pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang harus disokong kerana ia adalah pelan yang memfokuskan aspek-aspek yang mensejahterakan rakyat.
Justeru, Abidin turut mengingatkan rakyat agar tidak mengambil risiko kerap menukar kerajaan setiap kali mendengar janji-janji manis muka baharu kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan segala pembangunan negeri.
Beliau yang juga penyandang ADUN Paginatan, berkata perubahan kerajaan yang kerap akan menyukarkan kerajaan melaksanakan inisiatif dan program yang dirancang.
“Setiap kali kerajaan bertukar, hala tuju negeri menjadi sukar ditentukan, dan masa depan kita turut tidak terjamin, sekali gus menjejaskan pencapaian yang telah diperoleh sehingga matlamatnya tidak tercapai,” katanya.
Di bawah pentadbiran GRS, katanya, kestabilan kerajaan telah memastikan pencapaian ekonomi Sabah kukuh, dengan rezab negeri kini mencecah RM8.6 bilion.
“Pelbagai inisiatif juga telah mampu dilaksanakan untuk rakyat, termasuk insurans percuma, bantuan RM300 kepada ketua isi rumah serta banyak lagi,”katanya.
Katanya, GRS ikhlas memastikan Sabah terus maju melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan demi manfaat dan kesejahteraan rakyat negeri ini.
“Sebagai penyandang wakil rakyat DUN Paginatan saya amat berbangga kerana rakyat Paginatan sentiasa berada di belakang Wakil Rakyat dan kita sudah mencapai banyak kejayaan dengan bekerja bersama sama dengan rakyat Paginatan, kakitangan kerajaan, kakitangan UPPM, dan juga Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan,” katanya.
Menurut beliau, antara pencapaian yang amat signifikan ialah; Pengeluaran lebih 1,000 geran tanah melalui Program Pantas yang melibatkan pengukuran lebih 6,000 ekar keluasan tanah; mengeluarkan Kg Ponulangon, Walou dan Kg Kanawahon daripada hutan simpan; Pelancaran Pekan Baru Paginatan yang disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Sabah baru-baru ini sebagai bukti komitmen kerajaan untuk memajukan kawasan kampung; dan menambah kuota Jawatan Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK di beberapa kampung yang sudah diujudkan.
“Kesinambungan kepada Program Pantas, kita telah perbincangan dengan PPHT Ranau dengan penduduk Kg Tinanom, Kg Kodop Baru dan Kg Kigiwit pada baru-baru ini untuk pelaksanaan Program Pantas tersebut.
“Kita komited untuk meneruskan Program Pantas ini kerana kita amat sedar bahawa memiliki satu geran tanah adalah amat bermakna dan berharga kepada kita.
“Oleh sebab itu, sokongan padu daripada semua rakyat Paginatan amat-amat diperlukan demi kesinambungan pembangunan yang sudah dirancang,” katanya.
Datuk Abidin berkata demikian semasa Majlis Mirumo-Rumo dan siri jelajah ceramah PRU-17nya di Kg Luanti Baru, Paginatan, Toupos, Rumantai, Mangkadait, Miruru/Mantapuk dan Sagindai Baru pada hari Isnin.



