26 C
Kota Kinabalu
Jumaat, November 7, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Abidin Madingkir Seru Pemegang Adat Pastikan Kemenangan GRS di Paginatan

Abidin (tengah) bersama Arthur, Juis dan lain-lain dalam majlis itu

RANAU: Penyandang kerusi DUN N38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir menyeru kepada semua Pemegang Adat supaya memainkan peranan penting untuk memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihanraya akan datang.

“Pemegang Adat adalah tiang. Pemegang Adat adalah tulang perpaduan di kampung-kampung. Kekuatan kerajaan adalah kerana kuatnya kesatuan rakyat di peringkat kampung-kampung.

“Pada Pilihan Raya yang ke-17 (PRN17) yang akan diadakan penghujung November ini kita akan sama-sama berjuang demi rakyat Paginatan. Semoga kita beroleh kemenangan dan kemenangan itu adalah kemenangan kita bersama. Kemenangan rakyat Paginatan,” kata beliau.

Dalam kesempatan itu, Abidin sekali lagi menjelaskan mengapa beliau tetap dalam GRS dengan status sebagai ‘Direct Member of GRS’.

“Kita sama-sama menubuhkan GRS di mana ia diujudkan untuk kebaikan rakyat Sabah dan diujudkan oleh gabungan parti tempatan. Ini adalah kerana prinsip. Kita sudah sama-sama bina rumah kenapa harus kita robohkan.

“Kita sudah berusaha selama 5 tahun bertungkus-lumus menaikkan nama Parti Star sebagai salah satu komponen parti dalam GRS. Apabila Presiden mengambil keputusan untuk meroboh dan meniadakan usaha kita sudah tentu kita tidak bersetuju dengan tindakan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, kesungguhan GRS dalam usaha mensejahterakan rakyat melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah amat jelas dan mempunyai hala tuju yang jitu.

“Sejak 5 tahun pemerintahan Kerajaan GRS, banyak program rakyat yang sudah dilaksanakan seperti Perumahan SMJ, bantuan RM300 sebulan kepada lebih seratus ribu penerima yang berdaftar dengan E-kasih, bantuan persekolahan dan banyak lagi.

“Walaupun agama Islam adalah Agama Rasmi tetapi agama lain sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan GRS. Peruntukan untuk gereja-gereja juga ditingkatkan.

“Melalui kestabilan politik negeri Sabah dalam tempoh 5 tahun Kerajaan GRS Plus memerintah, telah berjaya meningkatkan hasil negeri, meningkatkan jumlah pelaburan asing dan sudah tentunya membuka lebih bnyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah,” katanya.

Abidin berkata demikian semasa merasmikan Majlis Taklimat Calon GRS Paginatan yang diadakan di Markas DAM Lohan Ulu pada hari Sabtu.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas kesempatan bersama sekali lagi dengan semua ahli Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan dan bersyukur kerana kehadiran tidak berubah sebelum dan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Ini, katanya, menandakan sokongan dan dokongan masih kuat dan utuh kepada GRS di Paginatan.

Dalam pada itu, Abidin mengambil kesempatan menjelaskan tentang profile profesionalnya kepada semua yang hadir memandangkan terdapat suara-suara sumbang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab mempertikaikan tentang latar belakang pendidikan beliau.

Beliau adalah lulusan Ekonomi daripada Universiti Malaya. Lepas itu mengambil jurusan Undang-Undang di University of London dan seterusnya mengambil Certificate of Legal Practice juga di Universiti Malaya. Beliau adalah pengamal Undang-Undang yang bertauliah.

“Secara peribadi saya bukanlah ahli politik tetapi penjawat awam. Saya pernah berkhidmat sebagai penjawat awam lebih 40 tahun. 22 tahun sebagai Setiausaha Tetap di berbagai Kementerian.

“Pernah berkhidmat di Kementerian Pertanian (2 kali), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (2 kali), Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perindustrian dan Kementerian Pelancongan,” katanya.

Pengalaman bekerja di Unit Perangcang Ekonomi memberi beliau ilham untuk merealisasikan pengujudan Pekan Baru Paginatan.

Dua penggal sebagai Mayor DBKK memberinya pengalaman cukup berharga bagaimana mentadbir dan mengurus bandar supaya selesa untuk didiami oleh Warga Kota.

Kesemua ini adalah pengalaman yang cukup berharga bagi beliau menjalankan tugas sebagai Wakil Rakyat. Selagi bergelar ahli politik, katanya, beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat khususnya rakyat Paginatan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan, Dualis Porodtong melafazkan kesyukuran kerana Ahli Pemegang Adat DUN Paginatan berkesempatan bersama sama dengan Calon GRS DUN Paginatan Datuk Abidin Madingkir.

Beliau menyeru kepada semua Pemegang Adat untuk terus bekerja seperti biasa, mensyukuri setiap kebaikan yang diberikan oleh pemimpin, memegang prinsip dan slogan Persatuan iaitu ‘saling melengkapi dan saling bekerjasama’ dan
sentiasa bersemangat menjaga kerukunan di kalangan ahli Pemegang Adat.

“Kita akan terjemahkan kesatuan dan perpaduan kita dan kita akan buktikan kejujuran kita dalam PRN17 nanti iaitu merealisasikan kemenangan Calon GRS Datuk Abidin Madingkir.
“Sama-samalah kita berusaha memikir inisiatif kita di kampung masing-masing dan mengatur strategi bagaimana cara untuk berjuang demi kemenangan kita bersama,” katanya.

Ketua Daerah, OKK Muhasip Hj Rauman juga menyeru kepada semua Pemegang Adat untuk tidak gentar dengan bayang-bayang kekuatan pihak lawan kerana yang digambar gemburkan tidak semestinya benar.

“Bayangan tidak mampu menjatuhkan kita. Yang nyata, yang benar dan yang tidak dapat dinafikan ialah sokongan rakyat yang terus bersama dengan kita.

“Kekuatan lawan boleh diibaratkan sebagai satu mimpi. Mimpi memanjat pokok kerana takut binatang buas. Binatang buas yang kedengaran menggerunkan dari jauh tetapi yang datang hanyalah binatang yang jinak dan tidak mengancam,” katanya.

Beliau seterusnya mengetuai bacaan ikrar tanda sokongan dan taat setia dan berdiri teguh di belakang kepada Calon GRS DUN Paginatan Datuk Abidin Madingkir yang dibaca lebih seratus Ahli Pemegang Adat DUN Paginatan.

Turut hadir, Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Arthur Sen, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir Juis Konsuling, CDO, Jipili Sigal, para Pemaju Mukim DUN Paginatan dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN