Abidin (6 dari kanan) bersama sebahagian penduduk Kampung Kigiwit
RANAU: Ahli Dewan Undangan Negeri N38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, menyempurnakan majlis dua dalam satu, merasmikan Dewan Terbuka Kampung Kigiwit dan penerimaan borang pembentukan Cawangan STAR empat buah kampung iaitu Cawangan STAR Kampung Kigiwit, Kampung Kodop, Kampung Barambangan dan Kampung Maindahuon Lama, baru-baru ini.
Berucap merasmikan Dewan Terbuka Kampung Kigiwit, Abidin meminta supaya dewan tersebut dapat dijaga dengan sebaiknya dan digunakan sepenuhnya bagi tujuan-tujuan rasmi seperti mengadakan mesyuarat ataupun majlis-majlis kampung.
“Hargai pemberian yang diberikan oleh kerajaan kita. Gunakanlah kemudahan ini sebaik mungkin walaupun mungkin masih banyak keperluan lain,” katanya.
Dalam sesi terima borang pembentukan cawangan STAR bersama pengerusi-pengerusi cawangan di empat buah kampung itu, Abidin mengingatkan para pengerusi supaya terus berkerja keras dan bergerak aktif untuk memperkembangkan keahlian Parti STAR.
“Syabas dan tahniah kepada semua pengerusi yang telah dilantik. Pengerusi cawangan selaku ketua, mempunyai tanggungjawab berat untuk mencari ahli-ahli baru khususnya para generasi muda yang belum mempunyai sebarang parti demi untuk memperkuatkan jentera parti. Ini kerana kuasa dan kekuatan sesebuah parti itu antara lain banyak bergantung kepada jumlah keahlian yang tinggi,” katanya.
Beliau turut berterimakasih kerana sentiasa mendapat sokongan berterusan daripada semua penduduk khususnya di DUN Paginatan.
“Saya sangat menghargai dan berterimakasih atas sokongan kamu semua. Sejak pilihanraya berakhir, kamu terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi. Ini terbukti melalui beberapa siri majlis perasmian cawangan-cawangan STAR sebelum ini dan termasuklah pada hari ini kerana bagi saya tanpa sokongan dan kerja sama yang kukuh, pastinya majlis seumpama ini tidak akan terlaksana,”katanya.