ADVERTISEMENTspot_img

Kemudahan kuburan Randagong Baru bukti keprihatinan terhadap kebajikan penduduk

Rusdin dan lain-lain dalam Majlis Penyerahan Kunci Kuburan Kampung Randagong Baru di sini


RANAU: Penyerahan kunci kemudahan kuburan Kampung Randagong Baru mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan keperluan asas dan kebajikan masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N38 Paginatan terus diberikan perhatian.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman berkata, pembangunan masyarakat bukan sahaja tertumpu kepada kemudahan seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, pendidikan dan kesihatan, tetapi turut merangkumi kemudahan sosial yang diperlukan penduduk dalam kehidupan seharian.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Kuburan Kampung Randagong Baru di sini.


Menurutnya, kemudahan kuburan mempunyai kepentingan tersendiri kerana bukan sekadar menyediakan tempat perkuburan, malah mencerminkan penghormatan masyarakat terhadap mereka yang telah meninggal dunia serta keprihatinan terhadap keluarga yang ditinggalkan.


Katanya, kemudahan yang lebih teratur itu diharap dapat memberikan keselesaan kepada penduduk dalam urusan pengurusan jenazah dan pengebumian.


Rusdin turut menegaskan bahawa tanggungjawab sebagai wakil rakyat bukan sekadar menghadiri majlis rasmi, sebaliknya memastikan setiap keperluan dan permasalahan rakyat terus mendapat perhatian.


Beliau berkata pembangunan di kawasan Paginatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira kampung, kaum mahupun agama kerana setiap komuniti mempunyai keperluan yang berbeza.


Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerjasama berterusan daripada ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pemimpin masyarakat serta penduduk dalam menyampaikan keperluan kampung secara tersusun bagi memudahkan usaha mencari penyelesaian.


Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk supaya bersama-sama menjaga kemudahan kuburan berkenaan, khususnya dari segi kebersihan, keselamatan dan pengurusannya agar terus memberikan manfaat kepada generasi akan datang.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa kampung dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penyediaan kemudahan berkenaan.


Rusdin berharap penyerahan kunci itu menjadi sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan kemudahan awam dan kesejahteraan penduduk Kampung Randagong Baru serta seluruh kawasan Paginatan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN