ADVERTISEMENTspot_img

Kemudahan awam mesra warga emas perlu diberi perhatian

TUARAN – Keperluan warga emas, khususnya mereka yang mempunyai keterbatasan pergerakan, perlu diambil kira dalam perancangan kemudahan awam dan pengangkutan supaya mereka dapat menjalani urusan harian dengan lebih mudah dan selamat.

Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Dr. Bonaventure Boniface, berkata akses kepada perkhidmatan kesihatan dan peluang menyertai aktiviti komuniti turut penting bagi menyokong penuaan aktif.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat Daerah Tuaran Tahun 2026, anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Tenghilan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran. Program itu membawa tema “Warga Emas Disayangi, Negara Harmoni”.

Dr. Bonaventure turut menggalakkan warga emas menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan kekal aktif mengikut kemampuan masing-masing. Beliau menyeru ahli keluarga agar meluangkan masa bersama ibu bapa dan ahli keluarga yang lanjut usia serta peka terhadap perubahan kesihatan dan emosi mereka.

“Satu panggilan telefon, satu kunjungan, satu pertanyaan tentang keadaan kesihatan atau sekadar duduk berbual bersama mereka mungkin membawa makna yang sangat besar,” katanya.

Beliau turut menyeru ketua kampung, pemimpin masyarakat dan pertubuhan setempat supaya mengenal pasti warga emas yang tinggal bersendirian, kurang berkemampuan atau menghadapi kesukaran mendapatkan rawatan. Keperluan mereka boleh dirujuk kepada pihak berkaitan bagi menyelaraskan bantuan.

Menurutnya, pengalaman warga emas di Tuaran dalam bidang pertanian, perikanan, perniagaan, pendidikan dan adat resam wajar dikongsi dengan generasi muda. Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan program komuniti menyediakan ruang untuk mereka terus menyumbang dan bergaul.

Klinik Family Care turut hadir menyokong sambutan itu dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan di bawah program PeKa B40. Pemuda PBS Bahagian Tamparuli pula menganjurkan kempen derma darah sempena sambutan tersebut.

Program itu turut menampilkan pameran dan ceramah kesihatan, perkhidmatan pergigian percuma serta kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dr. Bonaventure merakamkan penghargaan kepada penganjur, petugas kesihatan, sukarelawan dan semua pihak yang menjayakan program tersebut.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN