Faez
KOTA KINABALU: Seramai 1,700 peserta dengan 650 kenderaan pacuan empat roda dijangka menyertai 34th Borneo Safari International Offroad Challenge 2026 yang berlangsung dari 25 Oktober hingga 1 November ini, melibatkan laluan Kota Kinabalu, Telupid dan Tongod.
Acara tahunan edisi ke-34 itu dianjurkan oleh Persatuan Pacuan Empat Roda Negeri Sabah dengan upacara pelepasan rasmi atau flag-off dijadual berlangsung pada 25 Oktober, jam 8 pagi, di perkarangan Lembaga Pelancongan Sabah, Jalan Gaya, di sini.

Upacara pelepasan akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Negeri Sabah merangkap Pengerusi Penganjur, Tuan Haji Faez Datuk Nordin, berkata daripada jumlah keseluruhan peserta, kira-kira 800 peserta dengan 280 kenderaan akan memasuki kawasan hutan simpan.

Selebihnya akan menyertai aktiviti dan pertandingan di sekitar Tongod serta Telupid, termasuk perlumbaan yang dijadualkan berlangsung di Agro Farm Telupid.
Program itu bukan sahaja menghimpunkan peminat aktiviti pacuan empat roda dari pelbagai lokasi, malah turut mengetengahkan cabaran pemanduan lasak menerusi laluan dan bentuk muka bumi mencabar di pedalaman Sabah.
Sebagai sebahagian daripada persiapan acara, pemeriksaan teknikal kenderaan peserta, taklimat keselamatan serta sesi penerangan berkaitan peraturan akan diadakan pada 23 dan 24 Oktober di Hakka Hall, Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.
Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan upacara pelepasan konvoi Borneo Safari yang menjadi antara acara utama dalam kalendar sukan permotoran lasak di Sabah.
Borneo Safari edisi ke-34 dijadual berakhir pada 1 November ini.



