ADVERTISEMENTspot_img

Tolak Normalisasi Keganasan, Utamakan Pendidikan

OKK Alexsius (kiri) dan Kapitan Anthony (kanan)

OLEH: PAUL UKAU

KENINGAU: Keluarga, sekolah dan masyarakat perlu berganding bahu membendung keganasan melalui pendidikan, pembentukan sahsiah dan penyelesaian konflik secara aman, kata dua pemimpin masyarakat di sini.

Ketua Daerah Keningau merangkap Ketua Hakim Mahkamah Anak Negeri Keningau, OKK Alexsius Koperal Tingadon Pantayon, bersama Ketua Masyarakat Cina Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming, berkata keganasan tidak seharusnya dinormalisasikan sebagai jalan menyelesaikan perselisihan.

Mereka menyokong gesaan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN), Tan Sri Lee Lam Thye, supaya pengesanan awal dan intervensi berkesan dilaksanakan bagi menangani tingkah laku agresif, buli serius serta masalah pengurusan kemarahan.

Menurut mereka, pencegahan keganasan bukan tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan ibu bapa, institusi pendidikan dan pemimpin masyarakat dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berempati serta menghormati orang lain.

Alexsius, bekas pengetua sekolah, berkata pendidikan menjadi antara sumbangan penting untuk membimbing masyarakat, khususnya golongan muda, agar mengamalkan nilai positif dalam kehidupan.

“Sekurang-kurangnya, usaha ini membantu kita mendidik masyarakat, terutama generasi muda, supaya sentiasa dibimbing. Itu sahaja yang saya mampu lakukan, iaitu mendidik dalam semua segi,” katanya.

Mereka turut menegaskan bahawa tindakan undang-undang perlu dilaksanakan secara tegas terhadap perbuatan yang memenuhi unsur kesalahan jenayah, di samping usaha menangani punca keganasan melalui pendidikan emosi, literasi digital dan kesedaran masyarakat.

Menurut mereka, keharmonian Keningau dan kawasan pedalaman Sabah bergantung pada sikap saling menghormati, semangat kejiranan serta kesediaan masyarakat menyelesaikan perbezaan secara berhemah.

Mereka berkata, pencegahan keganasan perlu bermula sebelum tragedi berlaku, dengan keselamatan dan keharmonian menjadi tanggungjawab bersama.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN