RANAU: Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan merogol anak kandungnya yang berusia 13 tahun di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Ranau Superintenden Mursalin Mahmud berkata suspek yang merupakan pemastautin tetap itu ditahan malam tadi susulan laporan yang diterima pihak polis.
Beliau berkata laporan berkenaan dibuat oleh ibu saudara mangsa yang mendakwa remaja perempuan itu menjadi mangsa rogol oleh bapa kandungnya sendiri.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di rumah bersama suspek, manakala ibu tirinya berada di Labuan.
“Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mursalin berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan serta menentukan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menerusi talian 088-875222 bagi membantu siasatan.
Beliau memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.



