Keadaan parit yang perlu diselanggara dan dinaiktaraf
RANAU: Penduduk Kampung Tungou di sini merayu Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau supaya mengambil tindakan segera menambah baik sistem perparitan di sepanjang Jalan Ranau-Tambunan susulan kejadian tanah runtuh yang menjejaskan kawasan pertanian mereka.
Kebimbangan itu disuarakan khususnya oleh pemilik tanah pertanian yang terjejas, yang mendakwa sistem perparitan tidak sempurna dipercayai menjadi antara faktor penyumbang kepada masalah berkenaan.
Mereka bimbang keadaan itu akan bertambah buruk sekiranya tiada langkah pembaikan dilaksanakan, sekali gus berpotensi menjejaskan jalan raya utama.
Sehubungan itu, penduduk meminta JKR Ranau memantau kawasan terbabit, mengenal pasti punca masalah serta melaksanakan penambahbaikan sistem perparitan bagi mengelakkan kerosakan yang lebih serius.
Salah seorang pemilik tanah yang terjejas, Nasimin Yantangon, berkata masalah berkenaan telah berlarutan sekian lama dan berharap pihak berkuasa memberikan perhatian sewajarnya.
“Kita amat mengharapkan pihak berwajib membantu menyelesaikan masalah yang sudah berlaku sekian lama dan belum ada tindakan positif daripada jabatan berkaitan untuk mengatasinya,” katanya.
Penduduk berharap tindakan segera dapat diambil bagi melindungi kawasan pertanian dan kediaman berhampiran, selain menjamin keselamatan penduduk setempat.



