Dua wanita yang berjaya diselamatkan oleh anggota bomba selepas sesat
LABUAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menyelamatkan dua wanita yang tersesat ketika mendaki Bukit Kubung di sini, pada Isnin.
Menurut kenyataan ringkas JBPM Wilayah Persekutuan Labuan, Pusat gerakan operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.17 petang.
Pasukan dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Layangan tiba di lokasi tujuh kilometer dari balai pada jam 6.24 petang.
Setibanya di lokasi, bomba mendapati kedua-dua mangsa tidak dapat meneruskan perjalanan selepas tersesat di bukit berkenaan dalam keadaan cuaca yang semakin gelap.
Kedua dua mangsa yang berusia 22 dan 21 tahun berjaya di bawa turun pada jam 7.05 malam.
Seramai lapan anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan sebuah jentera.
Sementara itu, JBPM Labuan turut menasihati orang ramai yang ingin melakukan aktiviti khususnya pendalian bukit agar lebih berhati-hati dengan merancang perjalanan sebaiknya.



